Ringkasan AI
- Bekas banduan sering dipinggirkan masyarakat walaupun mereka berusaha memperbaiki diri.
- Filem Banduan memberi peluang kedua untuk bekas banduan berubah dan menyumbang positif kepada keluarga dan masyarakat.
- Pelakon Datuk Aaron Aziz menegaskan jangan nilai seseorang hanya berdasarkan sejarah lampau atau luaran mereka.
- Filem Banduan adalah adaptasi daripada filem India Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
- Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, dan Datuk Afdlin Shauki.
Menjadi seorang bekas banduan bukanlah sesuatu yang mudah.
Mereka sering dipandang enteng atau dipinggirkan oleh masyarakat sekeliling. Malah, ada yang langsung tidak dapat menerima kehadiran mereka kerana terus menilai seseorang berdasarkan masa lalu.
Stereotaip dan prejudis ini membuatkan bekas banduan sering berdepan cabaran besar untuk diterima semula dalam masyarakat walaupun mereka sendiri sudah berusaha memperbaiki diri.
Tanpa disedari, bekas banduan juga adalah manusia biasa. Mereka sama seperti orang lain yang pernah melakukan kesilapan, belajar dari pengalaman, dan berhak untuk memulakan hidup baharu.
Peluang kedua bukan sekadar satu keistimewaan tetapi juga jalan untuk mereka memperbaiki diri bagi menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, dan menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Berikut merupakan antara komen bekas banduan selepas pertama kali menonton filem Banduan:
"Selepas menonton filem Banduan ini, ia bagi saya peluang kedua supaya saya dapat ubah diri.
"Peluang kedua penting untuk ubah diri bagi berdepan keluarga, tanggungjawab dan masyarakat.
"Saya kena hidup berubah jadi seorang yang lebih baik. Apa yang saya lakukan sebelum ini saya tak akan lakukan," kata mereka.
Perkara ini turut dipersetujui oleh pelakon filem Banduan, Datuk Aaron Aziz yang menegaskan bahawa kita tidak seharusnya menilai seseorang hanya dari luaran atau sejarah lampau, kerana hati mereka kadang-kala lebih berjiwa besar daripada orang lain.
"Semua orang buat salah sama ada kena tangkap atau tidak, saya sendiri ada pengalaman ramai kawan-kawan bekas banduan, saya akui mereka mempunyai jiwa yang lebih besar daripada orang yang tak masuk penjara. Hanya kerana dia bekas banduan, badan ada tatu dan bekas gangster, kadang-kadang hati mereka lebih mulia dari ustaz," ujar Aaron.
Filem arahan Kroll Azry ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.
Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam misi berbahaya ketika dalam perjalanan bertemu anak perempuannya.
Filem aksi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.