Sekilas
- Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami wanita tersebut melalui WhatsApp.
- Tertuduh dikenakan lima pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana niat mengganggu dengan menghantar kandungan lucah.
- Mahkamah menetapkan denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara dua bulan bagi setiap satu jika gagal membayar denda, dan hakim menasihatkan tertuduh supaya tidak bertindak mengikut emosi.
Seorang pemandu lori didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di Seremban, Negeri Sembilan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghantar gambar dan video lucah bekas isterinya kepada suami wanita berkenaan menerusi WhatsApp.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Suhaimi Yusof, 50, selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menghantar tiga gambar dan dua video berunsur lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya menerusi aplikasi WhatsApp.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu menerima beberapa gambar dan video berunsur lucah daripada tertuduh yang sebelum ini merupakan suami kepada isterinya.
Kandungan itu memaparkan isteri pengadu dan menyebabkan lelaki berkenaan berasa tertekan serta terganggu sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan untuk meringankan hukuman.
Sebaliknya, dia memberitahu mahkamah bahawa dirinya bersedia menerima hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.
Dalam rayuannya, tertuduh memaklumkan dia kini bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai empat anak, tiga daripadanya masih bersekolah.
Menurutnya, anak-anak berkenaan kini berada di bawah jagaan bekas isterinya.
Tertuduh turut memberitahu perbuatannya dilakukan kerana marah selepas mendakwa dirinya telah ditipu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim menasihatkan tertuduh supaya tidak bertindak mengikut emosi dan memikirkan kesan daripada setiap perbuatannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM6,000 bagi setiap daripada lima pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000, atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah/Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin.
Sumber: Awani