Sekilas
- Pasangan kembar siam dari Ecuador, José Luis dan José Armando Cevallos, meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat serangan jantung pada 15 Oktober lalu.
- Mereka terkenal sebagai pempengaruh di Instagram dengan lebih 60,000 pengikut, berkongsi kehidupan harian dan pengalaman sebagai kembar siam.
- Kematian mereka mengejutkan ramai selepas mereka dilihat aktif berkongsi video beberapa hari sebelum kejadian, dan keluarga serta rakan rapat meluahkan kesedihan mendalam.
Pasangan kembar siam dari Ecuador, José Luis dan José Armando Cevallos yang juga merupakan pempengaruh menerusi akaun Instagram siamesesdelecuador dilaporkan meninggal dunia pada 15 Oktober lalu.
Berita pemergian mereka diumumkan diumumkan menerusi satu hantaran di Instagram oleh pasukan pengurusan media sosial mereka. Luis dan Cevallos meninggal dunia pada usia 27 tahun akibat serangan jantung.
“Kisah, senyuman dan pandangan mereka terhadap kehidupan meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati ramai orang.
“Kami berasa lega apabila mengenangkan mereka bahagia merealisasikan impian serta mencapai matlamat yang memberikan harapan kepada mereka,” menurut kenyataan tersebut seperti dilaporkan People.
José Luis dan José Armando mempunyai lebih 60,000 pengikut di Instagram. Mereka menarik perhatian pengguna media sosial menerusi perkongsian kehidupan mereka sebagai kembar siam.
Kembar siam itu juga diketahui sering menjawab pertanyaan pengikut selain berkongsi rutin harian, termasuk aktiviti ketika berada di luar rumah.
Khabar kematian mereka sempat mengejutkan pengikut kerana beberapa hari sebelum dilaporkan meninggal dunia, kembar siam tersebut dilihat berkongsi satu video memaparkan kedua-duanya bekerjasama memasukkan barangan ke dalam ruang bagasi kereta dikongsikan kepada pengikut.
Mengulas mengenai kematian kedua-dua beradik itu, rakan rapat mereka, Fernando Carrillo, mendedahkan menerusi program berita Sepanyol, Y Ahora Sonsoles, mereka dimasukkan ke hospital selepas José Luis mengalami serangan jantung.
Menurut Carrillo, meskipun doktor berjaya menstabilkan keadaan José Luis, José Armando pula mengalami serangan jantung beberapa minit kemudian sebelum mereka disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, adik-beradik mereka, Damián, turut meluahkan kesedihan keluarga ketika ditemu bual oleh program Y Ahora Sonsoles.
Damián berkata, ibu bapanya sangat terkesan dengan pemergian kedua-dua anak mereka.
“Saya tidak mempunyai kata-kata untuk menggambarkan perasaan ibu bapa saya ketika ini,” katanya.