Penceramah bebas, Fathi Na’im dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, atas tiga pertuduhan merogol dan amang seksual remaja berumur 13 tahun, empat tahun lalu.
Fathi Na’im, 33, atau nama sebenarnya Muhammad Fathi Na’im Mazlam, dikenakan hukuman itu selepas dia gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Advertisement
Hakim, Noridah Adam memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula Khamis, selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan hukuman itu.
“Mahkamah berpuas hati selepas mendengar keterangan saksi-saksi dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes berkenaan, maka tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan,” kata hakim.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kekerapan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Bagaimanapun, Muhammad Fathi yang tidak diwakili peguam merayu, dia dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung tiga isteri dan lapan anak yang masih bersekolah.
Mengikut satu pertuduhan, dia dituduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat.
Bagi dua pertuduhan, dia didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, dalam sebuah kereta di kawasan parkir Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam pada jam 3 dan 7 petang, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Seramai enam saksi termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula September 2023 sehingga 22 Januari lalu.
Di peringkat pembelaan pula, Muhammad Fathi merupakan saksi tunggal dalam prosiding bermula 25 Julai.
Sumber: Sinar Harian