Sekilas
- Mimi Lana mengakui loghat Perlis dan babak nyanyian adalah cabaran terbesar dalam filem terbaharunya, Mojoku Hilang.
- Walaupun tiada pengalaman menyanyi, Mimi dibantu oleh guru vokal dari Amerika Syarikat dan sokongan pengarah Min Lim untuk persiapan babak tersebut.
- Filem ini mengisahkan Adi yang menyamar sebagai orang kampung untuk mendapatkan semula lembu Mojo dan kini ditayangkan di pawagam dengan kerjasama beberapa produksi terkenal.
Pelakon, Mimi Lana mengakui loghat perlis dan babak nyanyian merupakan cabaran yang terbesar di dalam filem terbaharunya, Mojoku Hilang.
Menurut Mimi, pada awalnya dia tidak mahu melakukan babak tersebut, namun selepas diyakinkan oleh pengarah, Min Lim, dia kemudiannya akur dengan keputusan tersebut.
“Menyanyi adalah cabaran yang buatkan saya gemuruh setiap kali masuk ke set penggambaran. Selain itu, bahasa Perlis.
“Cabaran saya ialah apabila saya dikehendaki untuk menyanyi dalam beberapa babak. Setiap kali saya masuk set penggambaran, saya akan gemuruh. Bila dah habis, saya sangat lega. Selain itu, walaupun saya orang Taiping, tetapi saya struggle juga untuk bertutur dalam loghat Perlis.
“Pada asalnya saya tak mahu menyanyi sebab saya tak pernah ada pengalaman masuk studio. Tetapi Min (Pengarah) yang banyak mendorong dan mengalakkan saya. Disebabkan watak itu bukan seorang penyanyi yang hebat dan pernah tersingkir dalam sesi uji bakat, jadi saya rasa tidak mengapa,”katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai persediaannya untuk menyanyi, Mimi yang membawa watak sebagai Ayu itu berkata bahawa dia tidak berkesempatan untuk mengikuti mana-mana kelas vokal dan hanya banyak bertanya pada rakan seindustri.
Namun, sekali lagi dengan bantuan Min, Mimi telah berpeluang belajar dari seorang guru vokal yang telah dibawa khas dari Amerika Syarikat untuk melatih vokalnya bagi babak berkenaan.
“Untuk persediaan menyanyi, saya banyak bertanya kepada rakan-rakan saya seperti Azira Shafinaz. Saya sebenarnya tak sempat nak pergi kelas vokal kerana jadual yang padat.
“Tetapi Min telah upah seorang guru vokal daripada Amerika Syarikat. Jadi, guru itu yang membimbing saya setiap hari dari segi muzik, vokal dan teknik pernafasan yang betul,”ujarnya.
Digandingkan bersama pelakon Indonesia iaitu Adipati Dolken, Mimi mengakui kehebatan Adipati dalam genre ‘romcom’ telah banyak membantu dirinya dalam menjayakan babak bersama.
“Saya tak pernah buat genre romantik komedi dan saya tahu genre ini jarang diketengahkan di Malaysia. Sebab itu saya terima tawaran ini. Lagipun, saya juga pernah bekerja dengan Min sebelum ini. Jadi, saya sudah tahu dia bagaimana. Barisan pelakonnya pun memang hebat-hebat.
“Disebabkan Adipati memang hebat dan berpengalaman dalam ‘romcom’, kerja saya jadi lebih mudah. Teknik lakonannya banyak membantu saya. Walaupun dia sedikit bergelut untuk bercakap dalam bahasa Melayu, namun dia sangat banyak membantu produksi,”kongsinya.
Mojoku Hilang mengisahkan Adi lakonan Adipati Dolken yang menyamar sebagai orang kampung untuk mendapatkan semula Mojo, seekor lembu yang menjadi rebutan selepas penduduk kampung bertindak 'menculiknya' bagi menghalang pengambilalihan tanah oleh sebuah syarikat.
Namun, misinya berubah apabila dia jatuh hati kepada seorang gadis tempatan yang paling lantang menentang syarikatnya sendiri.
Mojoku Hilang merupakan terbitan Double Vision dengan kerjasama Astro Shaw, Mocha Chai Laboratories dan Argo Films kini menemui penonton di pawagam. Jangan lepaskan peluang!