Skip to main content

Artis Antarabangsa

Pengedar Dadah Dihukum Penjara Dua Tahun Atas Kematian Matthew Perry

Astrogempak FRIENDS

Sekilas

  • Seorang lelaki berusia 56 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana terlibat dalam kematian pelakon siri 'Friends', Matthew Perry.
  • Lelaki itu mengaku bersalah mendapatkan lebih 50 dos ketamin untuk Perry sebelum kematiannya pada Oktober 2023.
  • Kes ini melibatkan lima individu termasuk doktor dan pengedar dadah, dengan hukuman tertinggi 15 tahun penjara dikenakan ke atas pengedar utama dikenali sebagai Ratu Ketamin.

Seorang lelaki berusia 56 tahun dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun berkaitan kematian bintang siri 'Friends', Matthew Perry, lapor New York Times dan media AS yang lain, memetik keputusan mahkamah di Los Angeles pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pihak pendakwa raya sebelum ini menuntut tempoh penjara selama dua tahun setengah, manakala peguam lelaki itu mengharapkan hukuman yang lebih ringan iaitu tiga bulan penjara dan sembilan bulan di kemudahan rawatan ketagihan.

Lelaki itu, yang digambarkan sebagai seorang pengarah TV dan kenalan mendiang pelakon itu, mengaku bersalah atas pertuduhan mendapatkan lebih daripada 50 dos ketamin untuk Perry dalam minggu-minggu sebelum kematiannya pada Oktober 2023.

Dia bertindak sebagai orang tengah bagi seorang pengedar yang dikenali sebagai Ratu Ketamin, yang mana di rumahnya ditemui pelbagai jenis dadah dalam kuantiti yang besar, termasuk methamphetamine dan ekstasi.

Secara keseluruhannya, lima orang ditangkap, termasuk doktor, pengedar dan pembantu peribadi pelakon berkenaan.

Seorang daripada doktor dihukum penjara dua tahun setengah pada Disember lepas, manakala rakan sekerjanya dijatuhi hukuman tahanan rumah selama lapan bulan.

Hukuman paling lama setakat ini, iaitu 15 tahun penjara dikenakan pada April ke atas Ratu Ketamin.

Menurut pihak pendakwa, Jasveen Sangha, seorang wanita warga Britain-Amerika berusia 41 tahun pula dikenal pasti membekalkan dos yang membawa kepada kematian pelakon itu.

Hukuman bagi pembantu Perry pada ketika itu dijadual akan diumumkan pada akhir Mei.

Perry ditemukan mati di dalam tab mandi air panas di rumahnya di Los Angeles pada 28 Oktober 2023, ketika beliau berusia 54 tahun.

Pelakon itu pernah bercakap secara terbuka mengenai perjuangannya melawan masalah ketagihan.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

JOOLA PROTON SELKIRK Pickleball racket surface protective cover, Waterproof, Extremely durable synthetic rubber material

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Advertisement