Sekilas
- Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan atas kesalahan amang seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur lapan hingga 13 tahun.
- Kesalahan dilakukan di pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves antara November 2025 dan Mac lalu, melibatkan amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
- Kes terbongkar selepas mangsa melaporkan kejadian kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor dan pemeriksaan hospital mengesahkan kecederaan pada mangsa.
Perbuatan jijik seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak melampias nafsu terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur lapan hingga 13 tahun akhirnya menerima pembalasan, apabila Mahkamah Sesyen di pada Khamis, menjatuhinya hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan.
Retna Velu, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Ho Kwong Chin.
Bagi setiap tiga kes yang merangkumi tiga pertuduhan, lelaki itu dihukum penjara lima sehingga 12 tahun bermula tarikh tangkap 3 April lalu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan, menjadikan hukuman yang perlu dihadapi tertuduh ialah sebanyak 36 tahun termasuk sebatan itu.
Bagi pertuduhan sembilan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima mangsa itu, di sebuah pusat jagaan kanak-kanak pertubuhan kebajikan di Batu Caves, Gombak, antara November 2025 dan Mac lalu.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara kes amang seksual bukan fizikal, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.
“Saya mengaku bersalah, minta kurang hukuman tuan,” katanya yang memakai baju lokap warna jingga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman bagi semua pertuduhan dijalankan secara berasingan kerana ia membabitkan kanak-kanak.
Menurutnya, kesalahan seksual yang dilakukan amat serius kerana menjejaskan maruah serta keselamatan mangsa.
"Kes ini melibatkan lima mangsa yang semuanya kanak-kanak, malah kesan jenayah yang dilakukan akan berlarutan sepanjang hayat mereka.
“Justeru, hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan tersebut," katanya.
Mengikut fakta kes, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan kanak-kanak itu mendedahkan kejadian yang menimpa mereka, kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.
Siasatan mendapati, mangsa dikejutkan daripada tidur, lalu tertuduh melakukan perbuatan tersebut dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur.
Mangsa juga didakwa diugut supaya tidak mendedahkan kejadian itu kepada sesiapa kerana bimbang dimarahi atau dipukul.
Pemeriksaan di Hospital Selayang kemudian mendapati terdapat kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu di dubur mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu.
Pada 21 Mei lalu, tertuduh dihukum penjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di selepas mengaku bersalah atas enam kes amang seksual fizikal, bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.
Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati, S Kirthen dan S Premila bagi pihak waris mangsa dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor
Sumber: Sinar Harian