Skip to main content

Jenayah

Penjawat Awam Ditahan Rakam Wanita Di Pekan Sehari, Miliki Video Lucah

lucah

Sekilas

  • Seorang penjawat awam berusia 41 tahun ditahan selepas merakam video seorang wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh pada 9 November lalu.
  • Suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis dan polis merampas telefon bimbit yang mengandungi video dan gambar berunsur lucah.
  • Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509A dan 292 Kanun Keseksaan, dan siasatan masih dijalankan untuk analisa kandungan telefon.

Seorang penjawat awam ditahan selepas dikesan merakam video seorang wanita secara 'curi' di Pekan Sehari Temerloh, di sini pada 9 November lalu sebelum video kejadian tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan polis pada hari sama apabila mangsa, seorang suri rumah berusia 33 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis bertindak menahan suspek kira-kira jam 10 pagi dan merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam mangsa semasa kejadian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati telefon berkenaan turut mengandungi video dan gambar berunsur lucah," katanya.

Mohd Nasyim berkata, perbuatan suspek itu disedari mangsa sebelum dia bertindak menahan lelaki tersebut dengan bantuan pengunjung pasar sehari.

Katanya, polis bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan dan melakukan penahanan semula ke atas suspek dan merampas telefon bimbit miliknya.

"Suspek telah ditahan 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan laporan analisa kandungan telefon yang digunakan," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 509A dan 292 Kanun Keseksaan.

Polis dan siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan laporan analisa kandungan telefon yang digunakan.

Sumber: Sinar Harian

Must-Watch Video

Advertisement