Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan mengakui dia tidak pernah berniat menyorokkan kisah rumah tangganya sebaliknya memilih untuk menjaga hati banyak pihak selepas berpisah dengan bekas suami, Mohammad Aqbar Mohamad.
Amylea berkata dia sudah menutup sepenuhnya episod rumah tangga bersama bekas suaminya itu selepas melalui fasa yang sarat dugaan dan cabaran.
"Beberapa tahun lalu memang saya melalui situasi yang agak sukar. Sebenarnya apa yang saya lalui ini dah lama berlaku tapi saya tak berniat nak sorokkan daripada media.
"Cuma saya fikir, bila kita bersuara dalam keadaan sedih atau marah, mungkin kita akan terlebih berkongsi atau cakap benda yang tidak sepatutnya yang mungkin kita akan menyesal kemudian.
"Sebab itu lah saya ambil masa. Sebenarnya lima bulan selepas kami berkahwin, hubungan itu dah tak berapa okay," katanya ketika ditemui Gempak.
Amylea berkongsi perkara tersebut ketika menghadiri majlis pelancaran ALUNA Signature di Bangsar pada Sabtu.
Pelantun lagu Ku Bersalah itu berkata, perkahwinannya telah mula goyah seawal lima bulan selepas mereka disatukan.
Walaupun sudah berulang kali mencuba untuk menyelamatkan hubungan tersebut, setiap usahanya tetap menemui jalan buntu.
"Saya melalui pelbagai fasa untuk menyelamatkan rumah tangga tapi tak berjaya. Saya betul-betul dalam keadaan depress sebab kena sembunyikan tangisan dan sebagainya.
"Selepas saya betul-betul dah move on, baru saya umumkan perceraian kami. Idah saya pun sebenarnya dah lama habis.
"Saya ada dua talak, yang pertama pada Januari awal tahun dan talak kedua pula dua bulan kemudian (sekitar Mac)," ujarnya.
Ditanya mengenai punca perceraian, Amylea menegaskan bahawa dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaiknya dan tidak pernah bersikap kasar atau meninggikan suara.
Sebaliknya, mungkin bekas suaminya itu belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
"Saya tak pernah ada salah dengan dia, tak pernah tinggi suara dengan dia dan saya menjadi seorang isteri yang baik.
"Saya tak mahu bercerita, sebab orang boleh korek cerita tu dan ianya sangat memalukan banyak pihak. Tetapi apa yang boleh saya katakan, dia belum bersedia untuk jadi seorang suami," katanya lagi.
Terdahulu, Amylea menerusi satu hantaran di Instagram mendedahkan telah sah bercerai dengan suaminya pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan secara terperinci tarikh sebenar perceraian mereka.
Untuk rekod, Amylea dan Mohammad Aqbar mendirikan rumah tangga mereka pada November 2023. Mereka bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh sebenar majlis berkenaan.