Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi pada Rabu akan memfailkan permohonan menghina mahkamah dan larangan bersuara terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman.
Ia membabitkan tindakan Aliff Syukri, 39, membuat hantaran di media sosial, mengulas mengenai kes saman fitnah difailkan Abdul Kadir, 87, pada hari kedua perbicaraan itu berlangsung.
Peguam, Ravichandaran Selliah yang mewakili Abdul Kadir selaku plaintif berkata, walaupun mahkamah telah menasihatinya supaya tidak membuat sebarang kenyataan, namun usahawan berkenaan masih melakukan kesilapan sama.
“Perbuatannya perlu dihentikan sekarang, kerana ia akan menimbulkan prejudis terhadap kes dan anak guam, sekali gus menjejaskan proses keadilan di mahkamah.
“Ini kerana hantaran tersebut telah dibaca oleh jutaan pengikutnya malah dipetik oleh dua media termasuk portal berita hiburan,” katanya.
Beliau berkata kenyataan berkenaan dilihat sebagai mahu meraih simpati umum dan memberi gambaran negatif terhadap bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.
Katanya, kenyataan peribadi Aliff Syukri berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan mencemarkan pentadbiran keadilan.
Susulan itu, beliau memohon mahkamah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kesucian mahkamah, keadilan terhadap perbicaraan serta keyakinan awam terhadap sistem perundangan.
Sumber: Sinar Harian