Penyanyi, Shila Amzah tampil berkongsi nasihat berhubung pasang surut menjadi seorang ibu dan ayah yang baru dikurniakan cahaya mata.
Menerusi perkongsian di Threads, Shila berkata ibu bapa akan diuji dengan pelbagai dugaan dan rintangan ketika membesarkan anak-anak sehingga boleh bermain dengan jiwa dan emosi.
Advertisement
"Menjadi ibu bapa buat kali pertama bukanlah sesuatu yang mudah, tidak kira apa yang orang lain katakan. Kita belajar segalanya dari awal, dengan tidur yang sedikit dan emosi yang kuat. Kadang-kadang, saat-saat sunyi itulah yang paling mencabar ialah ketika kegembiraan yang diharapkan tidak seindah apa yang dirasakan. Pada waktu inilah baby blues boleh mula datang menyapa," ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Memori Tercipta itu menasihati agar ibu bapa tidak terlalu memaksa diri sehingga menyalahkan diri sendiri.
"Kepada semua ibu dan ayah baharu, tolonglah berlembut dengan diri sendiri. Kamu bukan gagal, kamu sedang menyesuaikan diri. Tidak mengapa untuk mengakui bahawa kasih sayang dan perasaan terbeban boleh wujud dalam satu nafas yang sama. Kamu sedang lakukan lebih baik daripada apa yang kamu sangkakan," pesannya.
Shila turut akui bahawa ketika dia menjadi seorang ibu, dia perlu menerima kenyataan bahawa tubuh badannya akan berubah demi anak-anak tercintanya.
"Perubahan saiz badan dan hormon, semuanya berubah. Tapi saya sanggup lalui semula semua itu demi Seth dan Rhea. Sudah tentu papa pun termasuk sekali, cuma saya tak dapat kongsi gambar Ubai sebab terlalu aib dan kami berdua nampak macam mayat hidup, terutama waktu berpantang, dengan anak pula kena penyakit kuning," katanya.
Mengimbau kenangan lama, Shila berkongsi bahawa dirinya telah mengalami fenomena 'baby blues' yang sangat teruk sehingga tidak dapat menyusukan anaknya selain kerap menangis setiap hari.
“Allahu bila ingat semula, saya berhenti menyusukan sebab Ubai cakap baby blues saya teruk sangat, saya menangis hampir setiap hari. Tapi tahu tak, untuk semua ibu dan ayah di luar sana, kamu tidak keseorangan. Mari kita saling berbuat baik, ya. Saya sayang kamu, Ubai,” kongsinya.
Untuk rekod, Shila dan Ubai berkahwin pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei tahun lalu.
Shila juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Seth Uwais hasil perkahwinan dengan bekas suami Haris Edraki.