Sekilas
- Datuk Seri Aliff Syukri bakal terbitkan drama pendek berjudul 'Abah Aku Jaga' yang mengisahkan pengalaman peribadinya dan hubungan dengan arwah bapanya.
- Aliff tidak akan berlakon dalam drama tersebut dan fokus pada jalan cerita realiti, dengan rancangan untuk hasilkan filem jika drama ini berjaya.
- Wisma D'herbs milik Aliff kini tampil dengan wajah baru selepas lebih 10 tahun beroperasi, dilancarkan dalam majlis di Kota Damansara yang turut dihadiri selebriti terkenal.
Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri berkongsi bakal menerbitkan sebuah drama pendek dalam masa terdekat.
Menurut Aliff atau nama penuhnya Aliff Syukri Kamarzaman, drama pendek berjudul 'Abah Aku Jaga' itu mengangkat kisah hidupnya yang pernah bersikap kurang ajar dengan bapanya kerana malu dengan pekerjaannya satu ketika dahulu.
“Drama ini mengangkat kisah saya dan arwah bapa. Saya mahu mengimbas kembali sikap saya yang pernah biadab terhadap arwah ayah.
“Saya dikenali sebagai pelajar terkenal di sekolah, namun pada masa sama malu dengan pekerjaan ayah sebagai pengawal keselamatan tanpa menyedari betapa besarnya pengorbanan dia dalam membesarkan saya.
"Hebatnya saya adalah kerana doa ibu dan bapa saya. Jasa mereka terlalu banyak untuk saya," katanya kepada Gempak.
Aliff berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Wisma Dherb’s di Kota Damansara, Selangor pada Sabtu.
Dalam masa sama, Aliff turut berkongsi bahawa kali ini, dia tidak akan membintangi drama tersebut namun menjanjikan jika karyanya Berjaya menambat hati orang ramai, dia akan melancarkan sebuah filem pula.
"Saya tidak berlakon di dalam drama ini dan tidak mencari pelakon lelaki yang kacak tetapi menumpukan kepada jalan cerita yang penuh realiti.
"Jika ia menjadi satu karya hebat saya akan abadikan sebagai filem pula.
"Kalau drama pendek ini berhasil, saya akan teruskan dengan sebuah filem tentang kisah cinta saya dan isteri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, selepas lebih 10 tahun beroperasi, Wisma D'herbs milik Aliff kini tampil dengan wajah dan pengubahsuaian baharu yang lebih besar, moden dan selesa.
Majlis pelancaran tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran duta beg AS iaitu Izara Aishah dan Sally Whoo, selain penampilan istimewa artis jemputan seperti Amelina dan Sherry Alhadad.