Skip to main content

Filem

Persiapan Luar Biasa Aksi Filem Banduan - “Pada Awalnya, Rancangan Kami Adalah…”

Banduan persiapan

Sekilas

  • Filem aksi Banduan menghadapi cabaran awal apabila gagal mendapat kelulusan lokasi penggambaran, namun pasukan produksi berjaya membina set yang hampir menyerupai lokasi asal.
  • Penggambaran dilakukan di studio yang disewa selama dua minggu dengan gabungan efek visual dari India, sambil mengekalkan tenaga kerja tempatan dalam proses produksi.
  • Filem ini adalah adaptasi daripada filem India Kaithi dan menampilkan pelakon terkenal seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, dan Datuk Afdlin Shauki.

Penerbit Banduan, Kalyana Devan mendedahkan bahawa filem aksi tersebut pernah melalui fasa genting apabila pasukan produksi gagal memperoleh kelulusan lokasi penggambaran pada peringkat awal.

Namun, berkat kebijaksanaan dan ketangkasan pasukannya, mereka berjaya membina set yang hampir menyamai lokasi asal sekali gus menyelamatkan keseluruhan perancangan penggambaran.

Devan turut menjelaskan bahawa mereka menyewa sebuah studio khusus sebagai ruang persediaan dan rakaman, menjadikan proses pembikinan filem ini lebih istimewa berbanding produksi lain.

"Pada awalnya, rancangan kami adalah untuk merakam di lokasi yang menampilkan seni bina yang sama dengan bahagian luar stesen yang kalian lihat dalam Banduan. Namun, produksi gagal mendapatkan kelulusan terakhir yang diperlukan. Jadi, pasukan terus buat keputusan untuk ubah tempat letak kereta kosong menjadi stesen yang diimpikan. 

"Bahagian seni reka membina set pengembaraan fizikal di mana kami telah menyewa sebuah studio selama 2 minggu untuk buat persediaan dan rakaman sambil pasukan efek visual (VFX) menambah persekitaran dengan sambungan digital yang lancar. Pendekatan adaptif ini membolehkan produksi menyampaikan skala, mood, dan realisme yang diperlukan oleh jalan cerita tanpa menjejaskan visi kreatif," katanya.

Dalam masa yang sama, Devan berkata produksi turut mendapatkan khidmat nasihat beberapa perunding dari filem Kaithi bagi memastikan hasil akhir berada pada tahap terbaik.

Menurutnya, meskipun sebahagian besar kerja visual dilakukan di India, keseluruhan pembikinan filem ini tetap didukung tenaga tempatan.

"Kami mempunyai beberapa perunding dari India yang pernah terlibat dengan filem asal Kaithi. Kehadiran mereka adalah untuk memberikan nasihat mengenai VFX dan kerja suntingan. Ada sebahagian besar VFX dijalankan di India, tetapi selain itu semuanya merupakan hasil tangan orang Malaysia," ujarnya.

Filem terbitan Astro Shaw dan produksi Number Twenty One Media ini merupakan adaptasi daripada filem pecah panggung India, Kaithi dan mula ditayangkan pada 6 November lalu.

Filem aksi ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement