Skip to main content

Berita Tempatan

Peruntukan RM4 Juta, Bukit Bintang Jadi ‘Disneyland Malaysia’ Tahun Depan - "Orang Ramai Digalakkan Guna..."

bukit bintang

Buat julung kalinya perarakan gilang-gemilang akan diadakan di Bukit Bintang di sini sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 3 Januari tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia meliputi pelbagai pertunjukan budaya Malaysia di sepanjang laluan berkenaan.

Advertisement

Katanya, pemilihan tarikh itu dibuat bagi mengelakkan kesesakan pengunjung yang biasanya memenuhi Bukit Bintang sempena Krismas dan Tahun Baharu.

“Kita akan memohon kepada Polis Diraja Malaysia untuk menutup jalan di Bukit Bintang pada waktu petang bagi menjayakan perarakan ini.

“Ini kali pertama kita adakan perarakan di Bukit Bintang yang setanding persembahan di Disneyland. Jadi, orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan,” katanya pada sidang akhbar Projek ‘I Lite U’ di Bukit Bintang hari ini.

Sementara itu, beliau mengumumkan peruntukan khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masing-masing RM2 juta bagi merancakkan program ‘I Lite U Bukit Bintang’.

Menurut Kor Ming, peruntukan RM4 juta itu membuktikan semangat kerja berpasukan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia merupakan inisiatif pencahayaan bandar berkonsepkan Inovasi dan kelestarian bagi memperindah serta menghidupkan semula Bukit Bintang sebagai ‘kawasan segi tiga emas’ Malaysia.

“Ini adalah masa keemasan susulan kejayaan sidang kemuncak ASEAN baru-baru ini untuk kita memperhebatkan momentum positif dari seluruh dunia.

“Sebab itu, kita akan libatkan agensi lain seperti Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Alam Flora Sdn. Bhd. dan lain-lain untuk memastikan Bukit Bintang sentiasa bersih, ceria dan bermanfaat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Must-Watch Video

Advertisement