Sekilas
- Isteri Haqiem Stopa, Aireena Sofia, menegaskan dia bukan jahil atau cemburu buta dan memilih untuk tidak dedahkan bukti bagi elak membuka aib sesiapa.
- Aireena mahu selesaikan isu rumah tangga mereka melalui proses undang-undang dan memohon doa agar urusan dia dan anaknya, Hud, dipermudahkan.
- Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat mengarahkan kedua-dua pihak melalui proses Jawatan Kuasa Pendamai selepas Haqiem tidak bersetuju dengan tuntutan cerai Aireena.
Isteri kepada Haqiem Stopa, Aireena Sofia tampil menjelaskan bahawa dia bukanlah jahil atau cemburu sehingga tidak boleh membezakan mana yang benar dan mana yang salah dalam rumah tangga mereka.
Aireena atau Jane berkata dia memilih untuk tidak mendedahkan bukti yang ada kerana tidak mahu membuka aib sesiapa.
"Saya tidak begitu jahil atau cemburu buta sampai tidak dapat membezakan mana yang betul dan mana yang tidak.
"Saya cuma memilih untuk tidak mengeluarkan semua bukti yang saya ada kerana saya tidak mahu membuka aib sesiapa," tulisnya.
Dalam masa sama, Jane menjelaskan bahawa dia mahu menyelesaikan masalah ini melalui proses undang-undang.
Dia turut meminta orang ramai mendoakan agar segalanya dipermudahkan buat dirinya dan anaknya, Hud.
"Biarlah isu ini saya selesaikan melalui pihak yang lebih adil. Saya mohon doa daripada semua agar dipermudahkan urusan saya dan Hud," ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat memutuskan Aireena dan Haqiem untuk melalui proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP).
Kedua-dua pihak diarahkan melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan hadir pada 13 Januari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Haqiem atau nama lengkapnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar tidak bersetuju untuk dengan tuntutan cerai yang difailkan oleh Aireena pada 6 November lalu.
Sebelum ini, Aireena mendakwa suaminya itu berlaku curang beberapa kali sepanjang perkahwinan mereka.
Bagaimanapun, Haqiem enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan tersebut.
Sekadar info, Haqiem dan Aireena mendirikan rumah tangga pada 11 Oktober tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang bayi lelaki bernama Hud yang kini berusia tiga bulan.