Polis Thailand menyerbu beberapa kilang haram yang menghasilkan inhaler herba tanpa kelulusan di wilayah Pathum Thani dan Nonthaburi, dan merampas lebih dua juta unit produk bernilai sekitar THB100 juta (RM13 juta).
Menurut laporan Bangkok Post, operasi dijalankan Pasukan Petugas Jenayah Ekonomi dan Bahagian Kawalan Dadah selepas siasatan mendapati produk tersebut dijual secara meluas di pasaran tempatan dan dalam talian tanpa kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Thailand.
Advertisement
Ketua Polis Negara, Jeneral Torsak Sukvimol, berkata serbuan dilakukan ke atas tiga premis yang disyaki menjadi pusat pengeluaran dan pembungkusan produk berasaskan herba yang diklasifikasikan sebagai ubat tradisional tetapi tidak mematuhi piawaian keselamatan.
“Produk ini bukan sahaja tidak berdaftar, malah mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya dalam sidang media.
Antara barangan yang dirampas termasuk inhaler herba dalam pelbagai jenama, mesin pembungkusan, bahan mentah dan dokumen transaksi jualan. Tiga individu termasuk seorang warga asing telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti kemungkinan rangkaian pengedaran melibatkan eksport ke negara jiran, termasuk Malaysia dan Laos.
Sumber: AWANI