Sekilas
- Pengarah filem Banduan, Kroll Azry, mengumumkan program CSR dengan mengagihkan barang keperluan harian kepada mangsa banjir di Marang, Terengganu esok.
- Bantuan tersebut diperoleh daripada keuntungan filem Banduan dan kerjasama Rosyam Mart, serta akan disertai oleh pelakon dan krew termasuk Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Rosyam Nor.
- Fokus bantuan adalah di Marang dahulu dan akan diperluaskan bergantung kepada keperluan dan kelancaran operasi pada hari tersebut.
Pengarah Filem Banduan, Kroll Azry berkongsi bahawa pihaknya bakal menjalankan Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) dengan mengagihkan barang keperluan harian kepada mangsa banjir di Marang, Terengganu esok.
Menurutnya, bantuan tersebut merupakan keuntungan dari kejayaan filem tersebut.
"Kumpulan kami akan jalankan tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) esok dengam membawa barang keperluan untuk membantu mangsa banjir di Marang. Bantuan tersebut merupakan keuntungan dari filem tersebut," katanya kepada Gempak.
Kroll berkata demikian ketika menghadiri pertemuan eksklusif dengan barisan pelakon filem Banduan di Jalan Gasing pada Jumaat.
Kroll turut berkata bahawa bantuan tersebut diperoleh dari kerjasama Rosyam Mart serta akan turut disertai oleh beberapa pelakon dan krew termasuk Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Rosyam Nor.
"Barang tersebut merupakan dari Rosyam Mart dan kita tolong agihkan pada mangsa. Tak pasti siapa yang akan turut serta cuma saya rasa ialah Datuk Aaron Aziz, Datuk Aflin Shauki, Datuk Rosyam Nor serta beberapa orang lagi," ujarnya.
Dalam masa sama, Kroll turut berkata bahawa buat masa sekarang bantuan tersebut akan memberi tumpuan kepada kawasan berkenaan dahulu, namun akan diperluaskan bergantung pada keperluan dan kelancaran operasi esok.
"Buat masa sekarang base di Marang dahulu dan kemungkinan mereka akan bergerak ke tempat lain juga bergantung pada hari tersebut. Cuma itulah perancangannya," jelasnya.
Diterbitkan oleh Astro Shaw dan Number Twenty One Media, Banduan merupakan adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India, Kaithi, dan mula ditayangkan pada 6 November lalu di seluruh negara.
Mengisahkan seorang banduan yang bekerjasama dengan polis bagi menumpaskan sindiket dadah sambil berusaha menemui anak perempuannya, filem ini dipuji kerana jalan cerita padat, aksi bertenaga dan elemen emosi yang menyentuh.
Gandingan utama Aaron Aziz dan Datuk Rosyam Nor, bersama barisan pelakon seperti Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan, turut menambah daya tarikan filem ini kepada penonton.