Berita
Program MLM 9.30, Bukan Untuk Membunuh Pelawak - Angah Raja Lawak
Angah Raja Lawak menegaskan slot istimewa ramalan dan debat MLM 9.30 bukan untuk membunuh dan menjatuhkan prestasi peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017).
Menurut Angah, 39, rancangan tersebut adalah untuk mengupas mengenai prestasi para peserta MLM 2017 dan memperbaiki mutu persembahan mereka pada setiap minggu.
"Program MLM 9.30 ini adalah satu rancangan cukup baik dan ia bukan untuk menjatuhkan prestasi para perserta melalui kritikan yang diberikan oleh juri-juri MLM sebelum ini.
"Sejujurnya dengan adanya program ini para peserta akan mengetahui kelemahan mereka pada setiap minggu melalui pengupasan dan ideologi yang diberikan oleh tetamu jemputan.
"Teguran yang diberikan kepada mereka adalah untuk memperbaiki mutu persembahan dan prestasi para peserta.
"Pelawak-pelawak sekarang juga lebih pandai dan semakin matang dalam melakukan persembahan," katanya kepada Astro Gempak.
Program debat dan ramalan akan disiarkan secara langsung pada pukul 9.30 malam selama 12 minggu sepanjang MLM 2017 bersiaran.
Seramai 11 peserta akan mempertaruhkan nasib mereka pada minggu kelima MLM 2017 ini dengan bertemakan 'Pekerjaan Luar Biasa'.
MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.
MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari MAHARAJA LAWAK MEGA.
Untuk mengundi Gempak Man Of The Match, sila KLIK DI SINI.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Must-Watch Video