Pelakon dan bintang popular Korea Selatan, Song Ji Hyo menjadi perhatian ramai selepas reaksinya terhadap pengumuman perkahwinan rakan baiknya, Kim Jong Kook kembali tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video di Threads, Ji Hyo yang dikenali sebagai Ace dalam program popular Running Man kelihatan sedang berbual santai bersama Jong Kook sebelum penyanyi itu mendedahkan khabar gembira berkenaan.
Advertisement
Dalam rakaman sama, Ji Hyo jelas terkejut namun gembira dengan berita tersebut sambil menepuk tangan berkali-kali sebagai tanda sokongan.
Aksi itu terus menjadi bualan peminat yang rata-rata menyifatkan hubungan mereka berdua hanyalah rapat seperti adik-beradik sejak dahulu lagi.
"Sangat pelik bila ada yang cuba ship mereka sebelum ini. Dah jelas macam adik-beradik saja," komen netizen.
Namun, ada juga yang meluahkan rasa kecewa kerana ship kegemaran mereka iaitu SpartAce akhirnya menemui noktah.
"Ship kegemaran saya dah sampai di saat akhir. Harap dapat tengok lagi moment SpartAce dalam Running Man pada masa depan."
"Rasa nak ulang balik semua episod kolaborasi mereka. Terima kasih SpartAce, memang seronok layan," kata seorang lagi peminat.
Meskipun begitu, ada juga netizen yang beranggapan Ji Hyo sebenarnya sudah mengetahui lebih awal siapakah insan yang berjaya menambat hati lelaki berkarisma itu.
Untuk rekod, Jong Kook sebelum ini mengejutkan peminat apabila mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya pada 18 Ogos lalu.
Akhirnya, pada 6 September, Jong Kook selamat melangsungkan majlis perkahwinan tertutup di sebuah hotel di Gangnam, Korea, yang hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat. Namun, identiti isterinya dirahsiakan atas faktor privasi dan bagi mengelakkan tekanan tidak wajar daripada media.
Sekadar info, Jong Kook mula menyertai Running Man sejak 2010 dan terkenal dengan tubuh sasa serta sikap tegasnya. Popularitinya dalam program itu sering membuatkan peminat mengaitkannya dengan Song Ji Hyo, sehingga tercetusnya nama SpartAce yang kekal menjadi fenomena sehingga kini.