Pelakon, Rita Rudaini tampil menyuarakan sokongan penuh terhadap penyanyi dan pengacara, Raja Azura, yang baru-baru ini menuntut nafkah anak selepas 15 tahun bercerai.
Menerusi perkongsian di Instagram, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan nasib yang menimpa kaum ibu tunggal, apabila segala beban terpaksa ditanggung seorang diri.
Advertisement
“Saya sokong penuh. Nafkah anak bukan soal masa, tetapi soal tanggungjawab dan ia tiada tarikh luput.
"Benda seperti ini tidak pernah ada kesudahan, berhabis turun naik mahkamah tapi tetap tiada perubahan.
"Akhirnya kami yang ibu tunggal tetap kena teruskan tetapi hutang tetap hutang,” tulis Rita.
Pelakon yang terkenal menerusi filem Mami Jarum dan Mami Jarum Junior itu turut mempersoalkan punca isu nafkah anak tidak pernah ada jalan penyelesaian, sama ada kerana sikap lelaki atau kelemahan sistem mahkamah.
Rita dalam masa sama terus mengecam tindakan lepas tangan itu dan menyifatkan ada lelaki hanya akan kembali mencari anak apabila berada dalam kesusahan.
“Nanti dah tua, sakit, sibuk nak salam, peluk dan minta duit kat anak. Selepas itu, kalau anak tidak dilayan, dituduhnya mak hasut dan anak derhaka. Memalukan,” tegasnya.
Terdahulu, Raja Azura memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah tiga anaknya bersama bekas suami, Adzmin Osman.
Sebagai rekod, Rita Rudaini sendiri bergelar ibu tunggal sejak 2013, selepas bercerai dengan bekas suami, Aidil Zafuan, yang dinikahinya pada 2008.