Sekilas
- Kumpulan kebajikan haiwan menuntut siasatan terhadap dakwaan penyeksaan dan pembunuhan seekor anjing bernama Rocky di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
- Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia mendakwa dua pegawai MBDK berada di lokasi dan meminta penjelasan mengenai tindakan mereka semasa kejadian.
- Polis Klang Selatan mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan terhadap insiden tersebut.
Kumpulan kebajikan haiwan menuntut pihak berkuasa menyiasat dakwaan penyeksaan dan pembunuhan seekor anjing peliharaan di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Kalaivanan Ravichandran, berkata anjing itu yang dinamakan Rocky didakwa dipukul sekumpulan lelaki, sebelum ditangkap pada malam Rabu.
Katanya, kumpulan tersebut mengikat tali pada leher Rocky dan menyeret haiwan itu sehingga menyebabkan kematiannya, meskipun dirayu pemiliknya agar ia dilepaskan.
Kalaivanan mendakwa, dua pegawai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut berada di lokasi kejadian.
“MBDK mesti menjelaskan peranan dan tindakan pegawainya di lokasi, mengapa jerutan terhadap Rocky tidak dihentikan serta sama ada kumpulan penduduk berkenaan bertindak dengan pengetahuan, arahan atau kebenaran mana-mana pegawai,” katanya dalam kenyataan sambil menambah tangkapan haiwan tidak sepatutnya membawa kematian.
Kalaivanan berkata, beliau dimaklumkan pemilik Rocky tiba di lokasi kejadian, semasa anjing itu diseret dengan tali.
Rakaman video memaparkan pemilik Rocky berulang kali merayu supaya jerutan pada leher anjingnya dilepaskan dan haiwan peliharaannya itu dipulangkan.
Kalaivanan turut berkata, pemilik berkenaan mendakwa dirinya dipukul beberapa kali di lengan kanan dengan kayu, manakala seorang lagi lelaki menahannya daripada mendekati Rocky.
Beliau turut menyeru polis menyiasat mereka yang terlibat, selain mendesak pihak majlis menjalankan siasatan dalaman.
“Sebarang isu berkaitan lesen anjing, sekiranya ada, merupakan perkara yang berasingan. Ketiadaan lesen tidak memberikan hak kepada sesiapa untuk memukul, menjerut, mengheret atau menyebabkan kematian seekor haiwan.
“Isu pelesenan boleh ditangani melalui proses penguatkuasaan yang sah. Kekejaman terhadap haiwan bukan kaedah penguatkuasaan.”
Polis Klang Selatan mengesahkan pihaknya menerima laporan dengan siasatan sedang berjalan.
Sumber: FMT