Sekilas
- Elizabeth Tan memberi respon terhadap komen di Threads yang melabelkan suaranya kurang sedap dan mengakui tidak pernah menjalani latihan vokal profesional.
- Dia lega kerana komen tersebut hanya mengenai nyanyian, bukan lakonannya yang banyak mendapat usaha dan perhatian daripadanya.
- Elizabeth terkejut dan bersyukur dengan sokongan ramai yang muncul selepas komen negatif itu, memberi semangat untuk terus berkarya.
Penyanyi, Elizabeth Tan memberikan respons terhadap seorang individu di Threads yang melabel dirinya sebagai antara penyanyi yang memiliki suara kurang sedap.
Elizabeth atau nama penuhnya Elizabeth Tan Su Mei berkata, dia lega kerana individu tersebut tidak mengkritik lakonannya dan hanya memberi komen mengenai nyanyiannya.
Menurutnya, dia banyak meletakkan usaha dalam bidang lakonan.
Dia juga turut mengakui tidak pernah menjalani latihan vokal secara profesional meskipun membesar dalam keluarga yang mempunyai bakat dalam nyanyian.
“Nasib baik dia tak kutuk lakonan. Kalau dia kutuk lakonan saya akan down dan depress sebab saya letak banyak effort untuk lakonan saya. Saya tak pernah cakap saya hebat nyanyi. Saya tidak pernah train atau pergi kelas vokal.
“Saya ada terfikir nak berguru dengan Ernie Zakri tetapi ketika itu saya rasa dia sedang sibuk. Saya percaya tone saya agak istimewa dan unik. Korang dengar kat radio dan tak nampak muka saya pun orang dah boleh kenal pasti itu suara saya.
“Saya bangga dengan tone suara saya. Tak semua orang ada tetapi dari segi teknik nyanyian, saya tahu saya tidak pandai sebab itu saya tak banyak buat show dan konsert.
“Saya membesar dekat Malaysia. Dari kecil saya menyanyi. Saya membesar dengan keluarga yang pandai menyanyi tetapi kami tidak pernah belajar menyanyi secara profesional,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai komen tersebut, pelantun lagu Knock-Knock itu mengakui terkejut apabila melihat ramai yang tampil memberikan sokongan kepadanya di ruangan komen hantaran berkenaan.
Katanya, dia pada awalnya tidak mahu membaca komen kerana menyangka dirinya bakal dikecam memandangkan dia sudah terbiasa menerima kritikan sepanjang kariernya.
“Saya terkejut baca komen, pada awalnya saya tak nak baca komen sebab ingatkan orang benci saya. Sepanjang karier, saya dah biasa menerima kritikan dan benci.
“Tetapi bila saya baca, majoriti mereka suka dan sokong saya. Mana datangnya mereka ini. Saya sangat bersyukur kerana ia beri saya semangat untuk meneruskan bidang ini.
“Ada banyak momen saya nak putus asa. Sangat sweet bila orang kata lagu saya ada ketika mereka sekolah menengah atau ketika waktu susah. Itu yang saya mahu untuk album saya bila orang boleh relate.
“Saya sangat gembira. Saya berterima kasih pada lelaki itu. Sebab awak saya terima banyak suka dan sokongan dari ramai orang. Saya tak pernah tahu sebab saya ingat semua benci saya. Saya rasa nak nangis dan tersentuh. Lagu Knock-Knock saya tak boleh nyanyi live tetapi akustik boleh,” ujarnya.
Terdahulu, seorang individu di Threads membuat senarai penyanyi yang didakwa memiliki suara kurang sedap dan nama Elizabeth turut tersenarai.
Bagaimanapun, hantaran tersebut menerima pelbagai komen daripada orang ramai yang tidak bersetuju dengan senarai berkenaan, malah ramai tampil menyokong Elizabeth dan menyukai karya nyanyiannya.