Berita
“Saya Harap Jangan Tercari-Cari Putri, Kerana...”- Fazura Jelas Mengapa Tiada Dalam Gol & Gincu Vol. 2
Pelakon Nur Fazura berharap peminatnya tidak menantikan dirinya untuk berlakon mahu pun membuat kemunculan dalam filem Gol & Gincu Vol. 2 (GG2).
Fazura berkata dia ada sebab mengapa tidak berlakon dalam filem GG2 meskipun pernah terlibat dalam Gol & Gincu sebelum ini dengan watak Putri.
“Saya tahu ramai tertanya-tanya kenapa saya tidak terlibat dalam Gol & Gincu kali ini. Ini kerana pada saya watak Putri sudah tamat.
“Sekarang saya mahu beri peluang kepada pelakon baru yang hebat dan berbakat seperti Diana Danielle dan Ummi Nazeera untuk bawa cerita ini sesuai dengan generasi sekarang,” katanya selepas selesai menonton GG2.
Fazura berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram (IG) Gol & Gincu Vol. 2 selepas selesai menonton filem tersebut.
Meskipun tidak terlibat dalam GG2, namun Fazura tetap mahu semua peminat Gol & Gincu sebelum ini menyokong filem tersebut yang difahamkan lebih hebat dan mempunyai jalan cerita lebih segar.
“Sebagai pelakon yang pernah terlibat dalam Gol & Gincu sebelum ini saya amat berbangga apabila dapat menonton GG2 kerana banyak kelainan yang disuntik dan jalan cerita diketengahkan lebih fresh serta sesuai dengan situasi yang berlaku sekarang.
“Jadi jangan lupa tonton dan sokong GG2. Saya harap jangan tercari-cari Putri kerana ceritanya sudah selesai.
“Sekarang fokus pada pelakon-pelakon dan kisah baru dalam GG2.
“Matlamat cerita ini masih sama iaitu wanita memperkasakan wanita,” katanya lagi.
Filem arahan sulung Umi Salwana Omar itu dibarisi pelakon seperti Diana Danielle, Ummi Nazeera serta dua pelakon asalnya Sharifah Amani dan Sazzy Falak.
Ia juga turut dibintangi oleh pelakon lelaki Syafiq Kyle dan Aedy Ashraf serta wajah baru seperti Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhan, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.
Astro Gempak akan menjadi hos kepada laman web rasmi GGV2 di mana penonton yang belum berpeluang menonton filem asal yang dihasilkan pada tahun 2005 dapat menyaksikan dan mengetahui lebih lanjut mengenai barisan pelakon, kisah di sebalik tabir dan pelbagai promosi hebat GGV2.
GGV2 mengisahkan tentang Zak (Diana Danielle) dan Yaya (Ummi Nazeera) pelajar yang memiliki nama asal yang sama iaitu Zakiah tetapi personaliti yang jauh berbeza.
Akibat tercetusnya pergaduhan mereka di khalayak ramai sehingga tular di media sosial, mereka elah dikenakan tindakan disipilin untuk melakukan kerja amal.
Zak dan Yaya memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikenadlikan oleh Jijie (Sharifah Amani). Pelbagai konflik berlaku ketika mereka cuba membantu Jijie dan gadis-gadis tersebut.
Karya terbitan Red Films itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Oktober ini.
Must-Watch Video