Sekilas
- Mazli Yusoh, bapa kepada Syakirah Hanan yang maut dalam kemalangan, menerima permohonan maaf daripada keluarga pemandu Honda Jazz yang terlibat.
- Kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil apabila kereta Syakirah dilanggar dari arah bertentangan ketika membelok ke kanan.
- Pemandu Honda Jazz cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, manakala Mazli memaafkan mereka atas dasar agama dan ketentuan takdir.
Mazli Yusoh, 51, tenang menerima permohonan maaf daripada keluarga pemandu Honda Jazz yang terbabit kemalangan sehingga meragut nyawa anak perempuannya, Syakirah Hanan, 25, tengah hari semalam.
Mazli yang juga guru Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Putra, Besut dikunjungi keluarga berkenaan ketika menunggu bedah siasat arwah anaknya di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, petang semalam.
"Ya, dia datang meminta maaf atas kejadian yang berlaku. Saya maafkan mereka, lagi pun mereka tak bersalah. Dalam Islam kita wajib memaafkan kalau orang datang minta maaf.
"Apa yang berlaku ini semuanya sudah suratan takdir. Allah telah menetapkan. Itu dari segi hukum.
"Undang-undang dunia kita kena ikut juga... undang-undang dunia seperti kecuaian manusia dan sebagainya tetapi itu cerita lain lah... tetapi dari segi hukum kita terima sebab sampai masa kita akan mati," katanya.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan, Bukit Kecil jam 1.38 tengah hari semalam, kereta Perodua Viva dipandu Syakirah Hanan yang juga penuntut UniSZA dilanggar sebuah Honda Jazz dipandu seorang lelaki yang datang daripada arah bertentangan ketika arwah membelok ke kanan jalan sebaik lampu isyarat bertukar hijau.
Lelaki 32 tahun dari Kampung Bukit Cempaka, Tepoh, Kuala Nerus, dikatakan dalam perjalanan daripada Jalan Kemajuan untuk pulang ke kampungnya.
Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tersepit dalam keretanya yang remuk.
Difahamkan, lelaki terbabit cedera parah termasuk patah tangan kiri serta leher dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - BH ONLINE