Sekilas
- Tun Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada orang ramai yang masih menziarahi pusara arwah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah, walaupun sudah lebih sebulan meninggal dunia.
- Beliau memohon maaf kerana jarang hadir ke pusara dan tidak dapat bertemu dengan semua yang datang menziarah serta membalas surat dan ucapan takziah satu persatu.
- Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September dan dikebumikan di Pusara Negarawan, Putrajaya pada hari yang sama.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad merakamkan penghargaan buat orang ramai yang menziarahi pusara arwah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menerusi perkongsian di Threads, Dr Mahathir terharu melihat orang ramai yang masih berpusu-pusu menziarah pusara arwah isterinya meskipun sudah meninggal dunia hampir sebulan lebih.
"Hasmah telah pergi lebih sebulan tetapi masih ramai yang menziarah pusaranya.
"Saya merasa amat terharu dan berterima kasih dengan kehadiran serta doa yang tidak putus-putus untuk Hasmah," tulisnya.
Dalam masa sama, Dr Mahathir turut memohon maaf kepada orang ramai yang tidak berpeluang bertemu dengannya di pusara Dr Hasmah kerana dia jarang hadir ke tempat berkenaan.
"Saya ingin minta maaf kerana tidak dapat sering ke pusara dan bertemu dengan yang datang menziarah pusara isteri saya.
"Begitu juga dengan surat-surat, ucapan-ucapan takziah yang diterima. Saya tidak dapat nak jawab satu persatu. Saya cuba jawab seberapa mampu,"katanya lagi.
Sekadar info, Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 9.20 pagi pada 28 September lepas.
Jenazah Allahyarhamah kemudiannya selamat disemadikan di Pusara Negarawan, Presint 20, Putrajaya kira-kira jam 6 petang hari yang sama.