Sekilas
- Atikah Suhaime kongsi pengalaman hidup selepas kahwin yang penuh ujian, termasuk rasa mudah menjengkelkan terhadap suaminya, Datuk Lokman Teh.
- Dia atasi perasaan itu dengan amalan istighfar 100 kali selepas solat Subuh untuk menenangkan hati dan memperbaiki hubungan.
- Atikah juga perasan hubungan mereka sering bergaduh ketika datang bulan, dan bertanya sama ada ia normal atau tanda penyakit ain, yang mendapat respon ramai netizen sebagai perkara biasa dalam rumah tangga.
Pelakon, Atikah Suhaime akui hidup selepas berkahwin bukanlah mudah kerana ujian yang hadir sering datang dalam pelbagai bentuk.
Menerusi perkongsian di Threads, Atikah berkata bahawa dirinya diuji dengan perasaan mudah berasa menjengkelkan terhadap suaminya, usahawan Datuk Lokman Teh .
"Ujian selepas perkahwinan memang real dan pelik. Sebelum saya kahwin, saya selalu ingat suami saya sempurna. Selepas kahwin, semua benda yang suami saya buat saya rasa 'annoyed,"tulisnya.
Menurut Atikah, dia mengatasi perasaan itu dengan mengamalkan istighfar secara konsisten, terutama selepas solat Subuh bagi menenangkan hati.
"Saya selalu amalkan istighfar 100 kali selepas solat subuh. Kemudian, perlahan-lahan lembut hati balik pada suami,"ujarnya.
Bagaimanapun, dia akui keadaan akan jadi berbeza setiap kali dia datang bulan sehingga mereka kembali bergaduh.
Situasi membuatkan dirinya tertanya sama ada perkara tersebut adalah penyakit ain yang sering disebut ramai.
"Saya perasan yang setiap kali saya datang bulan, mesti saya akan mula bergaduh dengan suami sebab saya tak boleh solat dan zikir.
"Apabila habis sahaja period dan saya mula kembali mempraktikkan amalan tersebut, barulah kami kembali baik. Adakah ini normal? Atau sebenarnya tanda penyakit ain?,"kongsinya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai dengan rata-rata netizen berpandangan bahawa perasaan tersebut adalah normal bagi setiap pasangan rumah tangga dan bukanlah penyakit ain.
Sekadar rekod, Atikah dan Lokman mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2024.
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Mulan yang kini berusia setahun.