Pelakon veteran, Eman Manan memilih untuk tidak mengambil tahu mengenai isu ‘kartel’ yang dikatakan wujud dalam industri perfileman tempatan.
Anak kelahiran Terengganu itu menegaskan fokus utamanya adalah untuk memberikan yang terbaik dalam setiap karya dengan menilai pelbagai aspek sebelum menerima sesuatu projek.
Advertisement
"Jawapan saya, saya tak tahu dan saya tak pernah ambil tahu. Apa yang saya buat, saya akan tengok cerita apa, skrip siapa, temanya apa dan pelakonnya siapa.
"Yang perlu saya tahu ialah mari kita buat filem yang baik," katanya ketika ditemui Gempak
Eman berkongsi perkara tersebut ketika sidang media Tayangan Perdana 3 Hajat di Dadi Cinema, Pavillion Bukit Bintang pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Eman turut membintangi filem 3 Hajat dengan memegang watak Awang, seorang bekas banduan yang bertekad menunaikan tiga hajat bersama anaknya, Taufiq.
Selain Eman, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Zul Huzaimy, Iman Aneesa, Zalif Sidek dan ramai lagi.
Terdahulu, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Afdlin Shauki mendakwa ada ‘tangan ghaib’ atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan.
Menurutnya, kartel ini berkuasa menentukan filem mana yang akan mendapat slot tayangan utama dan filem mana yang akan ‘ditenggelamkan’ tanpa promosi dan ruang yang adil.