Sekilas
- Filem SAYANG SAYANG menampilkan kerjasama kru produksi dari Malaysia, Taiwan dan India yang berpengalaman dalam sinematografi, reka bentuk bunyi dan kesan visual.
- Antara kru terkenal termasuk Kartik Vijay, Wu Shu-Yao dan Tomi Kuo yang pernah menerima pelbagai pencalonan dan anugerah Golden Horse dalam bidang masing-masing.
- Filem ini mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu mencari identiti dan impian, dan akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober serta di Malaysia pada 5 November.
Di sebalik penghasilan sesebuah filem, bukan hanya pelakon yang memainkan peranan penting, malah kepakaran kru produksi turut menjadi antara faktor yang menentukan kualiti sesebuah karya.
Menariknya, pembikinan filem ini turut menampilkan gabungan kepakaran dari tiga negara, iaitu Malaysia, Taiwan dan India.
Antara nama yang terlibat ialah Kartik Vijay dari India yang bertanggungjawab dalam bidang sinematografi, selain Wu Shu-Yao dan Tomi Kuo dari Taiwan yang masing-masing mempunyai pengalaman luas dalam reka bentuk bunyi dan kesan visual.
Kartik Vijay merupakan individu berpengalaman dalam bidang sinematografi yang pernah menerima pencalonan Anugerah Golden Horse bagi kategori Sinematografi Terbaik menerusi filem Abang Adik, The Soul dan The Garden of Evening Mists.
Kartik turut pernah menerima pencalonan Anugerah Filmfare ke-64, sekali gus memperlihatkan pengalamannya dalam industri perfileman.
Sementara itu, Wu Shu-Yao yang merupakan pereka bunyi dari Taiwan juga mempunyai rekod pencapaian membanggakan apabila pernah memenangi Anugerah Golden Horse bagi kategori Kesan Bunyi Terbaik sebanyak tiga kali.
Antara filem yang membawanya meraih kemenangan ialah The Assassin pada 2015, Mon Mon Mon Monsters! pada 2017 dan Snow in Midsummer pada 2023.
Wu memulakan kerjayanya pada 2001 sebagai pembantu rakaman dan penyunting bunyi di studio milik artis kesan bunyi Foley, Tu Duu-chih.
Sepanjang lebih sedekad dalam industri perfileman, Wu turut terlibat dalam pelbagai projek, termasuk UNEXPECTED COURAGE (2025), Mystery Writers (2024) dan Pierce (2024).
Selain itu, Tomi Kuo yang mengkhusus dalam bidang kesan visual turut membawa pengalaman luas menerusi penglibatannya dalam pelbagai filem.
Tomi pernah berkhidmat sebagai pengarah kesan visual untuk Anugerah Golden Horse ke-53 dan memenangi Anugerah Golden Horse bagi kategori Kesan Visual Terbaik menerusi filem Detention pada 2019.
Tomi turut meraih kemenangan dalam kategori sama menerusi filem Dead Talents Society di Anugerah Golden Horse ke-61 pada 2024 dan Anugerah Filem Taipei ke-27 pada 2025.
Terbaharu, Tomi menerima pencalonan bagi kategori Kesan Visual Terbaik menerusi filem A Foggy Tale di Anugerah Golden Horse ke-62 pada 2025 dan Anugerah Filem Taipei ke-28 pada 2026.
Antara filem lain yang pernah melibatkan Tomi termasuk An Impossibly Small Object, Over My Dead Body, 10,000 Miles, LOVESICK, Haunted Mountains: The Yellow Taboo dan Family Matters.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan.
Filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Lee Lee-Zen, Sasha Tang, Jo Kukathas, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 5 November depan.