Sekilas
- Mhia Firdaus menghadiri kelas bahasa isyarat, Muay Thai dan diving sebagai persiapan untuk filem terbaharunya, SAYANG SAYANG, sambil mengimbangi pengajian universiti.
- Walaupun penat dan pernah mengalami burn out, Mhia menghargai sokongan produksi yang menjaga kesihatan dan kebajikan pelakon sepanjang penggambaran.
- Filem SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu yang mencari identiti dan impian, akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia mulai 5 November.
Pelakon, Mhia Firdaus berkongsi dia telah menghadiri pelbagai jenis kelas termasuklah kelas bahasa isyarat, Muay Thai dan diving sebelum menjalani penggambaran filem terbaharunya, SAYANG SAYANG.
Menurut Mhia, bukan mudah untuk memberikan komitmen sepenuhnya pada kesemua kelas berkenaan memandangkan dia juga masih sedang belajar di universiti.
“Saya ada pergi kelas sign language, diving dan muay thai. Dalam masa sama, saya ada kelas dan exam di universiti. Mama tak paksa saya dalam buat sesuatu. Dia suruh saya hadap dan jangan back up. Ini bisnes, tiada siapa mahu rugi.
“Penat juga sebab shooting ketika bulan puasa. Pagi pergi kelas, petang ada training dan malam ada diving. Kadang selit sign language,”katanya kepada Gempak.
Mhia yang membawa watak sebagai Mina menerusi filem itu berkata dia seronok pergi ke kesemua kelas itu walaupun kadang kala hampir muntah akibat latihan berterusan atau tubuh terlalu penat.
“Semua kelas seronok tetapi sign language paling tenang. Kami siap ada dinner dengan komuniti pekak dan bisu. Mereka sangat details. Kalau kami salah, dia akan tegur terus. Mereka ada kekurangan tetapi mereka cuba berkomunikasi dengan saya.
“Muay thai pula memerlukan tuntutan secara fizikal. Coach kat Kelantan dan KL, kalau saya rasa nak muntah, mereka suruh saya muntah. Mereka tak kasi saya break.
“Diving agak susah juga sebab kami guna pernafasan sendiri, bukan guna tangki oksigen. Kami kena tahan nafas dalam 1 minit 30 saat. Nampak senang tetapi susah,”ujarnya.
Anak kepada aktres, Farah Ahmad itu turut mengakui berasa ‘burn out’ dengan kelas-kelas tersebut sehinggakan dia beberapa kali telah jatuh sakit.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana pihak produksi amat menjaga kesejahteraan dan kebajikan para pelakon.
“Saya pernah burn out dengan kelas itu saya memang aktif tetapi saya bukan aftlet body fit. Bila awak buat aksi awak perlu jadi sharp, kadang dalam kamera tak nampak. Jadi, kena letak usaha lebih.
“Saya banyak kali demam sebab kita penat dan puasa tetapi mama dan produksi sangat memahami. Mereka jaga kesihatan kami dan pastikan kami sentiasa terhidrasi,”kongsinya.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza iaitu Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, mengejar impian serta mencari tempat mereka dalam kehidupan.
Selain Mhia, filem tersebut turut menampilkan Nandagopall Mohan, Jo Kukathas, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November depan.