Sekilas
- Amir Ahnaf puji Mhia Firdaus sebagai pelakon yang petah berkata-kata dan baik hati dalam filem Sayang Sayang.
- Filem ini menampilkan gandingan unik Mhia bersama ibunya, Farah Ahmad, yang menambah kehangatan hubungan kekeluargaan dalam cerita.
- Sayang Sayang mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu, akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober dan di Malaysia mulai 5 November.
Pertama kali bergandingan dengan aktres, Mhia Firdaus, pelakon Amir Ahnaf menyifatkan Mhia sebagai seorang yang petah berkata-kata dan memiliki hati yang baik.
Lebih menarik, Sayang Sayang turut menyaksikan gandingan Mhia bersama ibunya sendiri iaitu Farah Ahmad.
Menurut Amir, ikatan kekeluargaan antara Mhia dan Farah yang menyebabkan dirinya amat menyukai filem berkenaan kerana dia berpeluang menumpang kasih sayang keluarga mereka buat sementara waktu.
“Pertama kali saya bekerja dengan Mhia. Dia seorang yang sangat bijak dalam bertutur kata. Dia sangat pandai mengimbangi kedua belah pihak. Dia seorang yang baik hati.
“Mak dia pun ada (Farah Ahmad). Jadi bila ada mak dan anak dalam filem ini, saya rasa macam nak jadi keluarga. Bila ia berkaitan dengan keluarga, perkara itulah menyebabkan saya sayang sangat mengenai sayang-sayang ini,”katanya kepada Gempak.
Amir yang membawa watak sebagai abang kepada Mhia itu berkata keserasiannya bersama Mhia telah terjalin sejak mereka menyertai kelas Muay Thai bagi persediaan filem tersebut.
Maka, dia akui lega kerana hubungan tersebut telah tercetus secara semula jadi tanpa perlu memaksa ketika berada di set penggambaran.
“Kami pergi ke kelas Muay Thai sama-sama. Disebabkan kami pergi, hubungan adik-beradik itu dah dibina melalui kelas yang sedia ada. Jadi, ketika di set penggambaran, kami tidak perlu memaksa sangat. Ia datang secara semula jadi.
“Kita akan rasa seronok. Hubungan adik abang itu walaupun kita gurau-gurau dan berlatih bersama, ia akan best,”ujarnya.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza iaitu Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, mengejar impian serta mencari tempat mereka dalam kehidupan.
Selain Mhia dan Nandagopall, filem tersebut turut menampilkan Jo Kukathas, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Farah Ahmad, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menemui penonton di pawagam Malaysia bermula 5 November depan.