Sekilas
- Anak Jaslinda Saludin mohon orang ramai hentikan penyebaran cerita dan dakwaan tidak sahih mengenai kehilangan ibunya selama 14 hari di Gunung Batu Putih.
- Keluarga memberi ruang kepada Jaslinda untuk berehat dan mendapatkan rawatan sebelum berkongsi kisah sebenar tentang apa yang berlaku sepanjang tempoh hilang.
- Mereka juga berharap privasi Jaslinda dihormati dan orang ramai tidak membuat andaian yang boleh mengelirukan masyarakat.
Anak kepada pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas 14 hari hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin tampil memohon orang ramai agar menghentikan penyebaran cerita dan dakwaan tidak sahih berhubung insiden yang menimpa ibunya.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau meluahkan rasa kecewa apabila pelbagai spekulasi dan teori mula berlegar dalam kalangan netizen sejak Jaslinda ditemukan selamat pada Sabtu lalu.
Menurutnya, keluarga ketika ini memilih untuk memberi ruang kepada Jaslinda berehat dan mendapatkan rawatan sebelum berkongsi cerita sebenar mengenai apa yang berlaku sepanjang tempoh kehilangan tersebut.
“Segala persoalan akan terjawab bila tiba waktunya,” tulisnya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian yang boleh mengelirukan masyarakat atau mengeruhkan keadaan.
Malah, keluarga juga berharap privasi Jaslinda dihormati memandangkan wanita itu masih dalam proses pemulihan selepas ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami beberapa kecederaan ringan akibat berada lama di dalam hutan.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya bersetuju agar ruang dan masa diberikan kepada Jaslinda serta keluarganya.
Sebelum ini, kisah kehilangan Jaslinda menjadi perhatian seluruh negara selepas wanita berusia 49 tahun itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman pada 24 Mei lalu.
Beliau akhirnya ditemukan selamat oleh komuniti Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh selepas hampir dua minggu operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Sejak penemuannya, pelbagai spekulasi muncul di media sosial mengenai punca kehilangan dan bagaimana Jaslinda berjaya bertahan selama 14 hari di dalam hutan.
Bagaimanapun, keluarga berharap orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri dan menunggu penjelasan rasmi daripada Jaslinda apabila keadaan kesihatannya benar-benar mengizinkan.
Sumber: Threads