berita
“Sejak Bila Rasa Sunyi Seperti Ini?” – Jeon So Mi Luah Perasaan, Peminat Running Man Risau Alami Depresi
Luahan hati pelakon dan anggota Running Man, Jeon So Min mengenai dirinya membimbangkan peminat.
Lebih-lebih lagi kenyataan yang ditulis melambangkan tentang kekecewaan dan kekosongan hidup menyebabkan peminat merasakan So Min sedang bergelut dengan masalah depresi.
Menerusi akaun Instagramnya, So Min memberitahu telah mengeluarkan sebuah buku yang berkaitan dengan kehidupan.
Tulis So Min lagi, buku tersebut telah menterjemahkan segala isi hatinya dalam bentuk penulisan dan berharap mereka yang membacanya dapat memahami maksud tersirat yang ingin disampaikan.
“Sebenarnya saya berasa benar-benar sedih sekarang. Saya pasti tidak ada sesiapa yang peduli pun tetapi apabila seseorang melihat wajah ‘kosong’ saya dan bertanyakan apa yang tidak kena membuatkan saya berasa disayangi.
“Hakikatnya walaupun begitu banyak senarai nombor dalam telefon bimbit namun tidak ada seorang pun yang cuba mendapatkan saya di saat saya memerlukan, membuatkan saya rasa kurang disayangi. Sejak bila saya mula rasa sunyi sebegini?
“Melihat salah seorang sahabat menangis apabila membaca buku hasil tulisan saya ini membuatkan saya berasa gembira dan bersyukur kerana reaksinya.
“Saya rasa seperti dia memahami diri saya, faham perasaan dan minat saya. Perasaan dan rasa yang saya cari selama ini.
“Dia bangga dengan saya. Dia bangga dengan cerita yang selama ini orang tidak endahkan dan tidak terfikir mengenainya pun.
“Sekiranya anda mempunyai masa lapang, sudi-sudikanlah membaca buku saya. Anda mungkin penat, tidak tertarik dan terganggu dengan ekpresi perasaan saya namun saya menterjemahkannya dalam bentuk sebuah buku.
“Saya tertanya-tanya adakah anda akan datang memeluk saya sekiranya anda mengetahui cerita disebaliknya… Tak mungkinlah, anda mungkin tetap sama tetapi itulah harapan dan jangkaan saya,” tulisnya.
Terdahulu, So Min telah menerbitkan sebuah buku berjudul ‘You Can Drink And Call Me’.