Sekilas
- Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan Nubhan Ahamad untuk memasukkan pembelaan berhubung tuntutan harta sepencarian dengan bekas isteri, Dr Afifah Hidayah.
- Proses sulh gagal selepas Nubhan tidak hadir pada 8 Januari, dan mahkamah tetapkan tarikh akhir pembelaan sebelum 24 Februari serta sebutan semula kes pada 11 Mac.
- Dr Afifah berharap Nubhan dapat bekerjasama dan hadir pada tarikh penting demi kebaikan anak-anak mereka.
Mahkamah Tinggi Syariah hari ini, menetapkan pihak defendan yang juga penyanyi, Nubhan Ahamad, 40, untuk memasukkan pembelaan berhubung tuntutan harta sepencarian dengan bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, 36.
Ia susulan kegagalan proses sulh antara bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) itu dengan Afifah selepas penyanyi berkenaan tidak hadir pada 8 Januari lalu.
Pada prosiding sebutan hari ini, Nubhan sekali lagi tidak kelihatan di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Mohd Redzuan Ramli bagi menetapkan tarikh selanjutnya berhubung tuntutan saman berkenaan.
Terdahulu Afifah yang mesra disapa Dr Fie tiba di perkarangan jabatan berkenaan kira-kira jam 10 pagi sambil ditemani ibu bapanya sebelum ke Mahkamah Tinggi Syariah bersama peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir dan peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.
Dia bersama peguam kemudiannya dilihat masuk ke Pejabat Mahkamah Tinggi Syariah jam 10.30 pagi dan turut disertai peguam Mohd Redzuan sebelum keluar kira-kira 30 minit kemudian.
Akberdin berkata, pihaknya sudah membuat serahan saman kepada penyanyi berkenaan pada 19 Januari lalu.
"Proses sulh tempoh hari tidak berjaya dan disebabkan itu mahkamah arahkan kita serahkan saman dan hari ini di hadapan pendaftar mahkamah, kita telah beritahu mengenainya.
"Pihak defendan juga hadir, mereka beritahu nak masukkan pembelaan dan mahkamah telah tetapkan tarikh untuk masukkan pembelaan itu sebelum 24 Februari ini," katanya.
Beliau berkata, mahkamah juga menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes sama ada pihak plaintif mahu memasukkan jawapan balas kepada pihak pembelaan atau sebaliknya.
Sementara itu, Dr Fie berharap penyanyi Nubhan memegang kata-katanya sebelum ini untuk berkawan demi kebaikan anak-anak.
Pempengaruh itu berkata, dia berharap pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza Musim Ke-12 itu dapat memberikan kerjasama dengan hadir ke mahkamah terutama pada tarikh penting.
"Saya rasa itu tidak menjadi masalah bagi saya sebab dia tak perlu hadir pun pada hari ini. Cuma saya harap dia boleh hadirlah pada waktu-waktu yang penting.
"Dan juga dapat beri saya kerjasama sebab seperti yang dicakap sebelum ini, dia boleh berkawan dengan saya demi anak-anak. Saya harap dia masih berpegang pada ayat itu," katanya ketika ditemui.
Jelasnya, walaupun dia sudah berpindah dan mula membuka lembaran baharu, namun dia tetap akan memperjuangkan hak ke atas anak-anaknya.
Menurutnya, proses hari ini baru permulaan dan tidak banyak perkembangan yang boleh dikongsikan, namun berharap proses sulh berkenaan berjalan lancar.
"Saya harap semua dipermudahkan, dipercepatkan supaya kita boleh memudahkan masing-masing," katanya.
Sumber: Harian Metro