Sekilas
- Empat lelaki di Kabupaten Mesuji, Lampung, Indonesia ditahan polis selepas dipercayai memburu dan menyembelih seekor tapir, haiwan dilindungi, sebelum mengagihkan dagingnya kepada penduduk setempat.
- Polis menjalankan operasi dan menahan suspek pada malam yang sama, serta merampas barang kes termasuk rakaman video, lembing, parang, tulang, daging dan kulit tapir yang telah diproses.
- Kesemua suspek disiasat mengikut undang-undang pemuliharaan hidupan liar Indonesia kerana membunuh spesies haiwan yang dilindungi dan diancam kepupusan.
Empat lelaki di Kabupaten Mesuji, Lampung, Indonesia ditahan polis selepas dipercayai memburu dan menyembelih seekor tapir yang merupakan haiwan dilindungi sebelum mengagihkan dagingnya kepada penduduk setempat.
Menurut Ketua Polis Mesuji, Asisten Komisioner Besar Muhammad Firdaus, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang pada Khamis lalu apabila seekor tapir dilihat melintas di Jalan Lintas Timur Sumatera.
“Tidak lama kemudian, haiwan itu berlari ke kawasan Hutan Simpan Register 45 sebelum dikejar tiga individu dikenali sebagai S, WS dan KS.
“Salah seorang daripada mereka kemudian menikam tapir itu menggunakan lembing sebelum haiwan tersebut disembelih oleh seorang lagi suspek dikenali sebagai T,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, selepas disembelih, daging tapir berkenaan dipotong-potong sebelum diagihkan kepada penduduk kampung.
“Daging daripada haiwan dilindungi itu dipotong oleh seorang lagi suspek sebelum diberikan kepada penduduk setempat,” katanya.
Susulan menerima maklumat mengenai kejadian itu, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan keempat-empat suspek pada malam hari yang sama di lokasi berasingan.
Hasil siasatan mendapati setiap suspek memainkan peranan berbeza dalam kejadian tersebut.
WS, 30, dipercayai mengejar tapir berkenaan di kawasan hutan, manakala KS, 50, menikam haiwan itu menggunakan lembing.
Seorang lagi suspek berusia 45 tahun pula menyembelih tapir tersebut menggunakan parang milik seorang lagi lelaki berusia 43 tahun.
Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk rakaman video tapir yang telah disembelih, sebilah lembing yang patah, sebilah parang, tulang tapir, selain daging dan kulit haiwan berkenaan yang telah diproses.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut undang-undang pemuliharaan hidupan liar Indonesia kerana membunuh spesies haiwan yang dilindungi dan diancam kepupusan.
Sumber: TEMPO