Sekilas
- 99 Speed Mart telah menyumbang lebih 15,000 set bakul perayaan bernilai lebih RM700,000 kepada golongan memerlukan sempena Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina 2026.
- Bakul makanan tersebut mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, biskut, bihun, minuman manis, dan kurma untuk membantu persiapan perayaan.
- Inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan 99 Speed Mart dalam tanggungjawab sosial korporat dan menyokong kesejahteraan komuniti di seluruh negara.
Rangkaian pasar raya mini terkemuka, 99 Speed Mart terus memperkukuh komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina 2026.
Menerusi inisiatif itu, 99 Speed Mart telah menyalurkan sumbangan lebih 15,000 set bakul perayaan dengan nilai keseluruhan melebihi RM700,000, melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Pejabat Menteri Besar, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri serta rumah-rumah kebajikan.

Bakul makanan itu mengandungi pelbagai barangan keperluan asas bagi persiapan perayaan antaranya seperti beras, biskut, bihun, minuman manis, tepung gandum, gula, kordial, kurma dan beras ketupat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Encik Yong Eng Kwang, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong kesejahteraan masyarakat khususnya golongan yang memerlukan agar mereka dapat membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina dengan lebih sempurna.
“Pada masa yang sama, ia juga sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan yang terus memberikan kepercayaan kepada 99 Speedmart sebagai destinasi utama pembelian barangan keperluan harian.
“Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam memperkukuh tanggungjawab sosial korporat.
“Kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh pelanggan menjadi asas kepada kami untuk terus memberi nilai tambah kepada komuniti serta menyumbang secara mampan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Yong menambah, inisiatif itu juga membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti serta membantu meringankan beban penerima khususnya menjelang musim perayaan.
“Sumbangan ini diharapkan dapat menceriakan sambutan perayaan terutamanya bagi keluarga kurang berkemampuan agar mereka turut berpeluang menikmati kegembiraan bersama insan tersayang dalam suasana yang lebih bermakna.
“Selaras dengan nilai teras syarikat, 99 Speedmart sentiasa percaya bahawa semangat perpaduan, keprihatinan dan kebersamaan dapat diperkukuhkan melalui amalan berkongsi rezeki, sejajar dengan nilai-nilai murni yang dibawa oleh kedua-dua perayaan ini,” katanya.

99 Speedmart kini memiliki lebih 3,000 cawangan dan disenaraikan di papan Utama Bursa Malaysia.
Muncul antara pasar mini terbesar di Malaysia ketika ini, 99 Speedmart terus berkembang menjadi salah satu rangkaian peruncitan paling ikonik yang diuruskan dengan fokus kepada kemudahan pengguna dan harga yang berpatutan.