Berita

Shuib Sepahtu Terhutang Budi Dengan Bapa Mertua

gempak
Kamaruddin Razal
15/12/2016
07:08 MYT
Sponsor Banner
Shuib Sepahtu Terhutang Budi Dengan Bapa Mertua
Pelawak dan penyampai radio Shuib Sepahtu mendedahkan dirinya terhutang budi dengan bapa mertua, penyanyi serta pelakon veteran Raissuddin Hamzah.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, 32, berterima kasih kepada bapa mertuanya kerana sering membantu untuk menjaga anak-anaknya ketika dirinya dan isteri, Siti Sarah sibuk dengan kerjaya.
“Seperti biasa, saya memang agak sibuk dengan kerjaya sebagai penyampai radio dan pelawak serta perniagaan yang diusahakan. Sarah pun baru-baru ini menyertai GegarVaganza 3 dan itu membuatkan kami berdua sama-sama sibuk.
“Bapa mertua saya selalu menghulurkan bantuan untuk menjaga anak-anak kami. Jika kami sibuk, bapa mertua datang ke rumah untuk mengambil anak-anak kami dan menjaga mereka.
“Saya rasa bersyukur kerana adanya bapa mertua untuk membantu menjaga anak-anak kami dan saya rasa terhutang budi,” kata Shuib kepada Astro Gempak.
Hasil perkahwinan Shuib dan Sarah, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin.
Dalam perkembangan lakonannya pula, Shuib akan muncul dalam sitkom secara langsung, Sepahtu Reunion Live bersama anggota kumpulan Sepahtu yang lain iaitu Jep, Rahim dan Ilya.
Sepahtu Reunion Live akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat pada jam 10.00 malam bermula 16 Disember ini selama 10 minggu.
Program itu akan bersiaran dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS dan ditayangkan secara ekslusif menerusi Astro Warna (saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (saluran 134).
Sepahtu Reunion Live merupakan sebuah rancangan sitcom komedi pertama yang disiarkan secara langsung dengan menampilkan empat orang pelakon komedi tetap dan diserikan dengan tetamu jemputan menerusi pelbagai topik menarik yang akan dilakonkan selama satu jam.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live