Sekilas
- Kunto Aji mengadakan konsert Simfoni Mantra bersama Malaysian Philharmonic Orchestra di Dewan Filharmonik Petronas yang disertai kira-kira 900 penonton.
- Beliau membawakan 15 lagu dengan susunan orkestra yang unik dan menghadiahkan bunga kepada peminat sebagai tanda penghargaan.
- Kunto Aji berkongsi pesanan penting tentang kesihatan mental dan memaafkan diri, menggalakkan peminat untuk terus berjuang dan percaya diri mereka layak dicintai.
Penyanyi Indonesia, Kunto Aji berjaya mencipta malam penuh emosi menerusi konsert Simfoni Mantra Kunto Aji bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC pada 16 November lalu.
Konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu menghimpunkan kira-kira 900 penonton yang hadir untuk menyaksikan gabungan muzik Kunto Aji bersama alunan orkestra MPO.
Sepanjang persembahan, Kunto Aji membawakan sebanyak 15 buah lagu termasuk Rehat, Pilu Membiru, Rona Merah, Terlalu Lama Sendiri, Berani dan Jernih dengan susunan muzik orkestra yang memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.
Antara momen yang turut mencuri perhatian adalah apabila Kunto Aji menghadiahkan bunga kepada peminat sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang diberikan.
Pesanan Kunto Aji Buat Peminat
Bukan sekadar menghiburkan penonton menerusi lagu-lagunya, Kunto Aji turut berkongsi pesanan bermakna mengenai kesihatan mental dan proses memaafkan diri.
Mengimbas pengalamannya sendiri, Kunto Aji mengakui tidak pernah menyangka akan mendapatkan bantuan pakar psikologi kerana dibesarkan dalam keluarga yang konservatif.
“Saya lahir dari keluarga konservatif. Saya tak pernah bayangkan saya akan berjumpa pakar psikologi. Tapi ada satu hal yang bantu untuk proses ikhlas dan memaafkan. Ada hal yang harus kita uruskan secara profesional,” katanya.
Dalam masa sama, Kunto Aji berharap agar setiap individu yang sedang melalui kesukaran tidak berputus asa untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik serta percaya bahawa mereka layak untuk dicintai.
“Saya harap apa jua kalian alami, kalian harus berjuang untuk rasa sihat dan layak dicintai. Saya harap kalian menemukan cinta dalam hidup kalian. Terima kasih sudah jadi sebahagian dari hidup saya. Cerita kalian saya selalu dengari. Saya selalu baca komen. Saya suka baca surat fizikal dari kalian,” ujarnya.
Konsert yang berakhir pada pukul 10 malam itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menikmati lagu-lagu Kunto Aji dalam susunan orkestra, malah meninggalkan pesanan bermakna buat mereka yang hadir.