Berita
SSX: "Kalau Saya Nak Jadi Juara Tidak Mustahil" - Izzue Islam
Penyanyi dan pelakon Izzue Islam mengakui tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk bergelar juara dalam program Super Spontan Xtravaganza (SSX).
Menurut Izzue, pengalaman yang diperolehi dalam SSX adalah lebih penting dan menganggap jika bergelar juara adalah bonus bagi dirinya.
"Sejujurnya untuk SSX ini saya tidak letak harapan terlalu tinggi kerana saya sedar ini bukan merupakan bidang saya.
"Tapi sebagai pemain dalam SSX saya bersyukur kerana dapat pelbagai pengalaman dan belajar banyak perkara dalam bidang komedi ini daripada pelawak-pelawak yang ada.
"Bagi saya kalau nak jadi juara tidak mustahil kerana semua orang berpeluang jika melakukan yang terbaik pada setiap minggu.
"Saya bukan seorang yang mudah menyerah kalah dan jika ada rezeki untuk saya bergelar juara alhamdulillah, jika tidak saya akan cuba lagi tahun hadapan," katanya kepada Gempak.
SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).
Bertemakan ‘tukang masak’, SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej ‘tukang masak jalanan’ dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej ‘tukang masak di hotel’.
Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.
Setiap kumpulan akan dikritik dan diniali oleh dua jri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri jemputan.
SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.
Must-Watch Video