Sekilas
- Peserta Borneo Rising kini perlu tunjukkan prestasi terbaik kerana cabaran semakin sengit pada minggu keempat.
- Ketiga-tiga juri, Shila, Marsha dan Noh, memberi amaran agar peserta tidak ambil mudah dan bersedia untuk kemungkinan penyingkiran lebih banyak.
- Program ini disiarkan secara langsung setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan TV Okey, serta boleh distrim melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.
Minggu mencuba nasib dan berada di zon selesa sudah berakhir. Peserta Borneo Rising kini perlu mengeluarkan potensi sebenar masing-masing apabila cabaran semakin besar dan persaingan semakin sengit.
Malah, ketiga-tiga juri Borneo Rising turut memberi peringatan awal kepada semua peserta menerusi perkongsian di Threads agar tidak lagi mengambil mudah persaingan pada minggu keempat.
Menurut Shila, dia tidak sabar untuk melihat kemampuan kesemua peserta pada minggu keempat ini dan mengharapkan persembahan yang lebih baik dari sebelum ini.
“Saya balik dari China esok. Tak sabar nak tunggu semua peserta Borneo Rising. Kita perlukan lebih banyak persembahan hebat dari kalian. Buckle up! Saya akan menonton,” tulis Shila.
Sementara itu, Marsha pula menyeru peserta agar keluar daripada persembunyian dan menunjukkan taring sebenar masing-masing.
“Saya mahu pesan pada semua Borneo Rising. Ini sudah minggu keempat. Jangan lagi simpan-simpan. Keluarkan taring kalian. Awas, kalau tidak mahu tersingkir,” kongsi Marsha.
Dalam pada itu, Noh turut berpesan agar peserta memberikan yang terbaik kerana mungkin lebih banyak penyingkiran bakal menanti mereka.
“Rasanya minggu ini, kalau peserta tidak perform akan ada lebih banyak penyingkiran,” kata Noh.
Penjurian Borneo Rising ditentukan menerusi 80 peratus pemarkahan juri profesional dan 20 peratus undian penonton.
Borneo Rising dihoskan oleh Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad selama lapan minggu, bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026.
Program itu bersiaran secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah, setiap Ahad, jam 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), selain boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO, Sooka dan RTMKlik.