Aplikasi gaya hidup umat Islam, Muslim Pro, sekali lagi memperkukuh kedudukannya di arena digital dengan melancarkan “Stories by Muslim Pro”, sebuah inisiatif kandungan yang menjadi hab kreatif bagi menampilkan naratif tulen, perspektif pelbagai, serta pengalaman autentik masyarakat Muslim di seluruh dunia.
Inisiatif ini diperkenalkan secara rasmi melalui sesi diskusi panel bertajuk “Storytelling in the Digital Era”, yang menampilkan Pengarah Urusan Kumpulan, Nafees Khundker, dan Pengarah Filem, Abrar Hussain.
Advertisement
“Muslim Pro kini bukan sekadar aplikasi utiliti keagamaan, tetapi telah berkembang menjadi teman budaya dan rohani yang dipercayai jutaan pengguna di seluruh dunia,” ujar Nafees.
Selain itu, tayangan perdana eksklusif dokumentari berjudul “Madina: The Enlightened City” akan bermula pada 1 Oktober 2025 ini.
Dokumentari ini diarahkan oleh Abrar, yang terkenal dengan karya “One Day in the Haram” dan “One Night in Al Aqsa”.
“Kisah yang kita ceritakan membentuk jati diri kita dan cara kita berhubung antara satu sama lain.
"Melalui “Madina: The Enlightened City”, saya bukan sahaja ingin merakam keindahan dan sejarah kota ini, tetapi juga auranya dari segi nilai kemanusiaan, sifat rendah diri dan pengabdian yang menjadikan Madina luar biasa.
"Inilah penceritaan yang melangkaui visual dan menyentuh makna sebenar menjadi seorang Muslim,” jelas Abrar.
Dokumentari ini menandakan komitmen platform untuk menghasilkan dan menghimpunkan naratif bermakna yang menyentuh hati serta menyatukan komuniti.
Dalam perkembangan lain, Muslim Pro turut melancarkan “Stories of the Beloved”, sebuah festival kandungan digital global bagi filem pendek dan kandungan digital (UGC Shorts) yang meraikan cara Islam dihayati, dizahirkan, dan dirasai dalam kehidupan seharian.
Inisiatif ini menghimpunkan pengarah filem profesional serta pencipta kandungan digital untuk berkongsi perspektif mengenai keindahan iman dalam dunia moden.
Pemenang akan dipilih oleh barisan juri antarabangsa yang terdiri daripada tokoh terkenal dalam dunia perfileman dan pencipta kandungan digital, termasuk pencipta kandungan digital Malaysia, Fikri Zamri, serta Abrar sendiri, yang turut menekankan peranan Malaysia dalam membentuk naratif Muslim di peringkat global.
Pemilihan karya juga melibatkan undian orang ramai melalui “UGC Shorts Viewer’s Choice Award”, yang membolehkan penonton mengundi karya kegemaran mereka melalui aplikasi Muslim Pro mulai 9 hingga 21 September 2025.
Antara cara-cara mengakses “Stories by Muslim Pro” ialah :
- Pra-belian dokumentari “Madina: The Enlightened City” bermula 11 September 2025
- Tayangan rasmi bermula 1 Oktober 2025
- Kandungan terpilih daripada “Stories of the Beloved” yang boleh distrim melalui aplikasi Muslim Pro dan platform video Qalbox
Inisiatif ini turut disokong oleh Gobi Partners sebagai kerjasama strategik dalam memperkasakan penceritaan digital Muslim di peringkat global.
Orang ramai boleh memuat naik aplikasi Muslim Pro di Apple App Store atau Google Play Store untuk mengakses “Stories by Muslim Pro”. Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.muslimpro.com.