Skip to main content

Berita

Suami Meraung Lihat Isteri Maut Digilis Treler

Wanita Digilis Treler

Seorang lelaki meraung apabila melihat isterinya tidak lagi bernyawa selepas digilis treler dalam kemalangan di Jalan Pelabuhan Barat dari arah Pulau Indah menghala ke Klang, pada Rabu.

Insiden pilu yang dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum tular di media sosial itu memaparkan lelaki terbabit berusaha menarik jasad isterinya sebaik mangsa digilis.

Lelaki itu turut dilihat cuba menyelamatkan anak perempuannya yang dibonceng selepas motosikal dinaiki tiga beranak itu terjatuh akibat bergesel dengan treler berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an bersama suaminya yang berusia 40 tahun serta anak perempuan mereka berusia 10 tahun menaiki motosikal jenis SM Sport 110R.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan dipercayai cuba menyelit di antara beberapa kenderaan berat sebelum bergesel dengan sebuah treler.

“Akibat itu, ketiga-tiga mereka terjatuh ke tengah jalan sebelum mangsa digilis sebuah treler yang berada di hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Suami mangsa yang menunggang motosikal serta anak mereka hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu treler tidak cedera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat, manakala suami dan anaknya turut menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

“Pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal diingatkan lebih berhati-hati ketika menunggang, elakkan memotong secara berbahaya dan sentiasa fokus demi keselamatan diri serta penumpang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video