berita
Super Spontan Superstar 2017: Amy Mastura Tak Sangka Dapat Bertahan Sehingga Separuh Akhir
Penyanyi dan pelakon Amy Mastura tidak menjangkakan dirinya akan bertahan sehingga minggu separuh akhir Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).
"Saya sendiri seperti tak sangka dapat bertahan sehingga ke peringkat ini. Alhamdulillah, biarpun tersingkir, pengalaman menyertai SSS2017 adalah satu memori yang sangat menyeronokkan.
"Ini merupakan percubaan pertama saya dalam pertandingan sebegini. Saya mencuba memberikan sehabis baik dan tiada rezeki untuk saya melangkah ke peringkat akhir," katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Amy, dia sangat berterima kasih kepada kelab peminatnya, AMy Mastura FC kerana datang menyokongnya di Panggung Percubaan, UPM saban minggu.
"Setiap minggu mereka menghabiskan masa menonton dan menyokong saya dalam SSS2017. Saya sangat terharu dan berterima kasih atas kesungguhan mereka.
"Terima kasih juga kepada peminat yang mengundi kumpulan King Musang dan peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” katanya lagi.
Di pusingan separuh akhir SSS2017, ahli kumpulan King Musang yang kalah di tangan kumpulan Tenggiling Taiko mengundi nama Amy dan Shuib Sepahtu untuk menjadi mangsa penyingkiran.
Pusingan akhir bakal menyaksikan semua peserta bersaing secara individu untuk meraih gelaran juara SSS2017.
Lapan peserta yang tinggal adalah Ozlynn, Sharif Zero, Mamak Puteh, Shahrol Shiro, Achey Bocey, Kamal Adli, Shuk SYJ dan Fad Bocey.
Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).
Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video