Sekilas
- Syamimia menjelaskan dia menerima teguran guru mengenai anaknya yang dikatakan merosakkan pemadam papan putih dan berlari dalam kelas.
- Dia menegaskan akan mendidik anaknya serta memberi masa untuk anaknya menyesuaikan diri dengan pembelajaran Mandarin dan kelas tuisyen.
- Syamimia menafikan tuduhan menunding jari pada guru dan mendoakan agar mereka yang memfitnahnya mendapat balasan setimpal.
Pempengaruh, Syamimia meluahkan rasa terkilan apabila ada segelintir netizen yang mendakwa dirinya menunding kesalahan pada guru berbanding menegur kesilapan anaknya sendiri.
Menerusi Threads, Syamimia menjelaskan bahawa dia terbuka menerima nasihat guru tersebut dan akan mendidik anaknya berhubung isu kerosakan pemadam papan putih.
"Ya Allah, saya dah cakap dekat live, Instagram yang saya akan ajar anak saya dan saya terima teguran cikgu maklum pada saya bahawa anak saya berlari.
"Saya balas dekat komen anak saya pun berlari juga, lumrah kanak-kanak. Anak saya ada asas Mandarin sahaja, sekarang baru dua minggu dia nak sesuaikan diri. Ambil masa nak belajar. Kelas tuisyen pun kami hantar. Bagi saya masa untuk Malik.
"Buat apa saya nak menipu. Hal Palestin? Awak ada belajar dari peristiwa itu tak. Jangan fitnah orang tanpa asal usul periksa," tulisnya.
Dalam masa sama, Syamimia turut mendoakan agar mereka yang telah menimbulkan fitnah terhadap dirinya akan dibalas dengan balasan yang setimpal kelak.
"Aku doakan orang yang fitnah, mengumpat dan reka cerita tentang aku selama aku hidup jatuh terduduk, rasa apa yang kau buat dekat aku,"ujarnya.
Terdahulu, Syamimia memuat naik perkongsian video di Instagram miliknya berhubung perbualan dirinya dan anak kesayangannya, Malik sewaktu di sekolah.
Dalam video tersebut, Syamimia berkongsi bahawa guru kelas Malik melaporkan bahawa anaknya telah membuang pemadam papan putih sehingga rosak serta suka berlari di dalam kelas.
Bagaimanapun Malik menafikan perkara tersebut dan berkongsi situasi sebenar ketika di dalam kelas.