Sekilas
- Platform audio digital SYOK berjaya meraih tiga anugerah di Asia Podcast Awards 2026, termasuk kategori Best Children’s Entertainment Podcast, Best Education Podcast, dan Podcast Socials Content Creator of the Year.
- Pengiktirafan ini menunjukkan kekuatan dan kepelbagaian kandungan SYOK yang merangkumi hiburan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan, dan kandungan sosial kreatif.
- SYOK berterima kasih kepada pendengar dan komuniti atas sokongan mereka, yang menjadi motivasi untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti dan relevan di peringkat Asia.
Platform audio digital SYOK mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tiga anugerah di Asia Podcast Awards 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju kandungan podcast dan digital di rantau Asia.
SYOK mencatat kemenangan menerusi kategori Best Children’s Entertainment Podcast bagi Bedtime Tales, Best Education Podcast menerusi Moon Parenting Podcast, serta Podcast Socials Content Creator of the Year yang mengiktiraf kecemerlangan SYOK
dalam menghasilkan kandungan sosial podcast.
Pengurus Operasi Kandungan Digital SYOK, Eman Zaki berkata pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha berterusan seluruh pasukan SYOK dalam menghasilkan kandungan yang kreatif, relevan dan memenuhi keperluan pendengar daripada pelbagai latar belakang.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana tiga kemenangan yang diraih memperlihatkan kekuatan dan kepelbagaian ekosistem kandungan SYOK daripada hiburan untuk kanak-kanak, kandungan pendidikan berkaitan keibubapaan, sehinggalah penghasilan kandungan sosial yang lebih kreatif dan inovatif.
“Bagi kami, anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi menjadi bukti bahawa
kandungan yang dihasilkan oleh pasukan SYOK mampu mendapat tempat dan perhatian di peringkat Asia.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, kreativiti dan komitmen seluruh pasukan SYOK.
Kami akan terus meneroka idea-idea baharu dan memperkukuhkan kandungan podcast serta digital bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pendengar dan komuniti
kami,” katanya.
Eman turut menyifatkan sokongan para pendengar sebagai antara faktor penting yang mendorong SYOK untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti dan berimpak.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar dan komuniti SYOK yang terus menyokong kami. Setiap sokongan, tontonan, pendengaran dan perkongsian menjadi motivasi untuk kami terus menghasilkan kandungan yang dekat dengan masyarakat,” tambahnya.
Kejayaan tersebut turut mencerminkan komitmen SYOK dalam memperluaskan ekosistem kandungan digitalnya, selari dengan perubahan tabiat penggunaan media dan peningkatan minat terhadap kandungan podcast dalam kalangan masyarakat.
Asia Podcast Awards 2026 berlangsung di Jakarta, Indonesia, sebagai sebahagian daripada RadioDays Asia 2026, yang menghimpunkan pemain industri radio, audio dan podcast dari seluruh rantau Asia.