Sekilas
- Taanusiya Chetty berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Miss World 2026, pencapaian tertinggi Malaysia selepas bertahun-tahun mencuba.
- Beliau menekankan pentingnya aspek 'Beauty With Purpose' dalam pertandingan yang bukan sekadar tentang kecantikan semata-mata.
- Minat Taanusiya terhadap dunia ratu cantik bermula sejak kecil melalui koleksi anak patung Barbie, termasuk inspirasi dari Aishwarya Rai.
Ratu cantik Malaysia, Taanusiya Chetty mengakui tidak menyangka berjaya meraih tempat ketiga menerusi pertandingan Miss World 2026.
Menurut Taanusiya, pencapaian itu cukup bermakna selepas bertahun-tahun Malaysia mencuba dan bersaing dengan peserta dari seluruh dunia.
“Sejujurnya, saya tak sangka dengan kemenangan itu sebab ada banyak benua yang bertanding. Setiap benua itu ada power house tersendiri. Untuk saya yang datang dari Malaysia dan ramai yang tak pernah dengar Miss World. Mereka ingat pertandingan kecantikan ini hanya tentang kecantikan semata-mata tetapi sebenarnya banyak kerja yang dibuat di belakang tabir. Banyak melibatkan beauty with purpose.
“Saya hanya menyasarkan untuk memenangi gelaran Beauty With Purpose tetapi kadangkala ada juga rasa tidak yakin dan terlalu banyak berfikir. Bila mereka umumkan Top 6 itu, saya memang hampir nak menangis. Tapi saya kena jaga solekan saya, nanti comot. Bila dapat Top 6 itu, ia adalah pencapaian tertinggi buat kita selepas bertahun-tahun mencuba. Dapat 2nd up runner itu pun, saya sangat bersyukur.
“Kemenangan ini memberi lebih banyak peluang untuk meluaskan perubahan di Malaysia menggunakan advokasi saya sendiri yang saya cipta sejak sekolah. Ia masih menjadi hari yang penuh bersejarah dalam hidup saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Taanusiya turut berkata minatnya terhadap dunia ratu cantik bermula sejak kecil apabila dia suka bermain dan mengumpul anak patung Barbie.
Malah, Aishwarya Rai turut menjadi antara sumber inspirasinya.
“Dulu saya suka kumpul anak patung Barbie. Saya ada banyak anak patung Barbie di rumah. Setiap kali hari jadi, keluarga saya akan belikan. Saya suka dandan, sikat rambut. Salah satu anak patung Barbie saya ialah Aishwarya Rai.
“Ketika itu saya baru berusia lapan tahun dan saya tak tahu apa-apa mengenai Miss World. Kemudian, ibu saya yang jelaskan kepada saya. Dia kata ianya bukan mudah untuk masuk. Saya tahu bukan mudah sebab dulu saya nampak kesusahan Aishwarya.
“Semua negara kenal dia sebab banyak yang dia beri impak kepada orang. Saya sangat curious ketika melihat dia dulu. Satu hari saya akan pastikan saya ada koleksi anak patung Barbie. Bukan untuk diri saya sahaja tetapi juga menderma kepada kanak-kanak yang memerlukan. Beri sesuatu yang mereka boleh gunakan untuk mendandan diri. Bila kamu dididik dari kecil, kamu akan sayang pada diri sendiri,”ujarnya.
Sekadar info, Taanusiya mencipta pencapaian membanggakan apabila menamatkan saingan Miss World 2026 di tempat ketiga selepas berjaya mara sehingga kelompok Top 6 pertandingan berprestij itu.