Sekilas
- Seorang lelaki berusia 75 tahun, Ram Sagar, bertunang dengan pempengaruh media sosial berusia 30 tahun, Reena Rajput, di Uttar Pradesh, India.
- Pasangan ini mula rapat selepas Reena sering melawat keluarga Ram untuk menghasilkan video bersama anak perempuannya, Radha.
- Mereka merancang untuk berkahwin selepas perayaan Navratri, dengan keluarga sudah menerima hubungan tersebut.
Seorang lelaki berusia 75 tahun mencuri perhatian selepas bertunang dengan pempengaruh media sosial berusia 30 tahun di daerah Auraiya, Uttar Pradesh, India.
Menurut laporan media tempatan, pasangan dikenali sebagai Ram Sagar dan Reena Rajput itu melangsungkan pertunangan kira-kira seminggu lalu dalam sebuah majlis ringkas.
Ram Sagar dilaporkan kehilangan isterinya kira-kira tujuh tahun lalu, perkara yang turut disahkan oleh anak perempuannya, Radha.
Difahamkan, Reena mula mengenali lelaki tersebut melalui Radha yang juga aktif menghasilkan kandungan media sosial.
Hubungan mereka semakin rapat selepas Reena kerap mengunjungi kediaman keluarga berkenaan untuk menghasilkan video bersama.
Pertemuan itu akhirnya membawa kepada hubungan cinta sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin.
Reena menegaskan perbezaan usia 45 tahun bukan penghalang dan menyatakan dirinya gembira dengan keputusan tersebut.
Sementara itu, Radha memaklumkan keluarganya menerima hubungan berkenaan dan sedang membuat persiapan perkahwinan.
Pasangan itu dilaporkan merancang melangsungkan perkahwinan selepas perayaan Navratri, namun tarikh sebenar belum ditetapkan.
Sumber: Sinar Harian