Sekilas
- Datuk Nora Ariffin meminta orang ramai berhenti membandingkan lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dengan versi asal yang popular sejak 1997.
- Beliau menegaskan setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang perlu dihargai demi kejayaan industri muzik tanah air.
- Nora menyeru peminat untuk meraikan lagu lama dan baru tanpa perbandingan, serta terus menyebarkan cinta melalui muzik.
Penyanyi, Datuk Nora Ariffin tampil bersuara selepas lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 meraih kritikan ramai dan dibandingkan dengan rakaman asal yang telah sebati di dalam ingatan peminat sejak hampir tiga dekad lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, Nora atau nama penuhnya Datuk Wan Norafiza Datuk Haji Wan Ariffin berkata setiap penyanyi mempunyai kemampuan dan kehebatan tersendiri.
Justeru, dia memohon agar orang ramai menghentikan budaya perbandingan dan lebih menghargai setiap karya yang dicipta demi kejayaan industri seni tanah air.
“Tak perlu bandingkan Cinta Di Akhir Garisan OG dengan 2.0. Masing-masing ada kelebihan, keistimewaan dan aura tersendiri. Kita nikmati dan hargai kedua-duanya kerana akhirnya, yang menang adalah industri muzik kita.
“Teruskan menghargai lagu-lagu yang bagus, penyanyi yang kita membesar bersama, legenda dan bakat-bakat hebat yang sudah lama menceriakan industri.
“Raikan yang lama, sambut yang baru. Tak perlu banding , nikmati sahaja muzik itu dan sebarkan cinta,”tulisnya.
Sebelum ini, lagu Garisan Cinta Di Akhir Garisan 2.0 menerima pelbagai reaksi dengan rata-rata membandingkan kemampuan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno dengan barisan penyanyi asal.
Penyanyi asal yang pernah popularkan lagu ini termasuklah Datuk Ziana Zain, Nora Ariffin, Ning Baizura dan Dessy Fitri pada tahun 1997.