Sekilas
- Penyanyi Azeva menyeru orang ramai supaya berhati-hati dalam bertutur agar tidak menyakiti hati sesiapa.
- Dia menegaskan tidak pernah mengharapkan perkara buruk berlaku kepada mana-mana individu dan mengajak semua mendoakan yang baik-baik sahaja.
- Azeva turut meluahkan kesedihan apabila bapanya diganggu oleh individu dipercayai kenalan rapat yang menyebarkan perkara buruk mengenai dirinya.
Penyanyi, Azeva berharap orang ramai lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata agar tidak menyinggung atau melukai perasaan mana-mana pihak.
Menerusi perkongsian di Threads, Azeva atau nama penuhnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin mengingatkan orang ramai agar tidak merendahkan sesiapa.
Azeva turut menegaskan dirinya tidak pernah mengharapkan perkara buruk berlaku kepada mana-mana individu.
“Saya harap apa pun yang jadi. Kita semua jaga tutur kata. Tak perlulah sampai merendahkan sesiapa.
“Apa pun yang berlaku, saya tak pernah mengharapkan keburukan menimpa sesiapa. Doakan yang baik-baik sahaja,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan kata-kata semangat buat Azeva dan berharap agar dia diberikan kekuatan untuk menghadapi segala ujian serta dugaan.
Difahamkan, menurut orang ramai, terdapat individu yang dipercayai merupakan kenalan rapat telah menghubungi bapa Azeva, Ameng Spring, sambil memarahinya dan bercerita perkara buruk mengenai Azeva.
Azeva bagaimanapun meluahkan rasa sedih apabila bapanya diganggu susulan perkara tersebut.