Seorang individu menyorot perhatian netizen selepas berkongsi sebuah kisah mengenai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Individu yang dikenali sebagai Amirmokoo itu mendedahkan sifat keperibadian Allahyarham ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur satu ketika dulu.
“Saya pernah jaga dia di Prince Court masa dia admit. Sumpah tak sangka, dia selama stay dalam bilik dia kuat mengaji Al-Quran dan solat sunat. Saya pernah tegur dia, cakap ‘Dato’ rupanya warak juga’.
“Masa tu dia gelak saja, kata tak apa… orang luar ramai bilang dia jahat, tapi berbeza sungguh apa yang saya nampak depan mata. Terima kasih Dato’ selalu belanja kami makan sepanjang Dato’ admit dulu di Prince Court. Innalillah, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya. 
Dalam pada itu, ada juga individu yang menyatakan bahawa Allahyarham mempunyai keperibadian yang sangat baik dan seorang yang menjaga solat. 
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menghembuskan nafas terakhir sekitar 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi Khamis. Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Berita
“Tak Sangka Arwah…” - Jururawat Dedah Sifat Sebenar Bung Moktar Sepanjang Di Hospital