Skip to main content

Selebriti

"Terima Kasih Kerana Memilih Jalan Yang Menghormati Sensitiviti Masyarakat & Imej Negara" - Ustazah Asma Harun Puji Keterbukaan Syarikat & Dolla Turunkan MV

Asma Harun dolla

Sekilas

  • Ustazah Asma Harun mengucapkan terima kasih kepada Universal Music Malaysia kerana menurunkan muzik video Dolla berjudul Question atas sensitiviti masyarakat dan imej negara.
  • Beliau memuji kerjasama profesional dan kematangan kumpulan Dolla dalam menerima keputusan menurunkan MV tersebut.
  • Tindakan ini diharapkan menjadi contoh kepada artis dan syarikat lain dalam menjaga maruah serta imej seni tempatan.

Pendakwah selebriti, Ustazah Asma Harun menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada Universal Music Malaysia atas keputusan menurunkan muzik video (MV) terbaharu Dolla berjudul Question.

Menerusi hantaran di Instagram, Asma memuji tindakan segera syarikat itu walaupun sedar keputusan berkenaan melibatkan risiko kerugian besar.

"Terima kasih kerana memilih jalan yang menghormati sensitiviti masyarakat dan imej negara. 

"Saya ingin menyatakan penghargaan dan rasa hormat saya kepada Universal Music Malaysia atas tindakan menurunkan video tersebut daripada semua platform digital.

"Keputusan dan tindakan ini bukanlah mudah, ia melibatkan kos produksi besar, masa, tenaga dan kerugian. Namun pihak syarikat tetap memilih untuk mendengar suara rakyat," tulisnya.

Asma turut menzahirkan penghargaan kepada kumpulan Dolla yang menunjukkan kerjasama baik dalam menurunkan MV tersebut sambil menyifatkannya sebagai bukti sikap profesional dan kematangan.

"Terima kasih kepada Dolla atas keterbukaan menerima keputusan dengan jiwa besar mencerminkan profesionalisme, kematangan dan rasa hormat pada sensitiviti masyarakat," ujarnya.

Asma berharap tindakan ini dapat menjadi contoh kepada anak seni lain demi menjaga maruah dan imej seni tempatan.

"Semoga langkah ini menjadi contoh kepada syarikat dan artis lain. Semoga ia menjadi pemangkin kepada industri yang lebih bermakna dan dihormati," tambahnya.

Terdahulu, penampilan kumpulan Dolla menerusi video muzik terbaharu berjudul Question mendapat perhatian ramai dengan ada sebahagian masyarakat menyifatkan ia keterlaluan terutama gaya fesyen seksi dan mencolok mata.

Langkah itu turut dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai isu pemakaian artis beragama Islam yang tidak selari dengan garis panduan sedia ada.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement